31 Januari 2011

SI PENJUAL TEMPE...

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe... Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”. Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya “Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa.. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.

MALAIKAT BUATMU...


Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...   
 
Dia bertanya kepada Tuhan: "Para malaikat disini mengatakan bahawa esok  Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup  disana; saya begitu kecil dan lemah?"   

Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan  menjaga dan mengasihimu."   

Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; di dalam syurga ini, apa yang saya  lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa... Inikan sudah cukup bagi  saya untuk berbahagia."   

"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"   
   
"Dan bagaimana bisa saya mengerti di saat orang-orang berbicara kepada saya jika saya tidak mengerti bahasa mereka?" 

"Malaikatmu   akan berbicara  kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar; dan  dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara berbicara."   

"Dan apa yang akan saya lakukan saat saya ingin berbicara kepada-Mu?" "Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa"   
   
"Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya ?" 
"Malaikatmu akan melindungimu; walaupun hal tersebut mungkin akan mengancam jiwanya"   

"Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak melihat-Mu lagi" "Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku, dan akan mengajarkan bagaimana agar kamu bisa kembali kepada-Ku; walaupun sesungguhnya Aku akan  sentiasa disisimu"   

Disaat itu, Syurga begitu tenang dan heningnya sehingga suara dari Bumi  dapat terdengar, dan sang bayi bertanya perlahan : "Tuhan, jika saya harus  pergi sekarang, bisakah Kamu memberitahuku nama malaikat tersebut?"

"Kamu akan memanggil malaikatmu itu: "
IBU
..............................................................................................................................................

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: 
Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: "Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab: "Ya." Allah bertanya lagi: "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?" Malaikat menjawab:"Ya". Allah bertanya kali ketiga: "Apakah kata hamba-Ku?" Malaikat menjawab: "Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan 'Dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali'." Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya: "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu 'Rumah Kesyukuran'." (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

KATIL UNTUK SOLAT...



sumber: web

LOBAK, TELUR DAN KOPI...

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehdupan. Ia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Ia mengisi tiga periuk dengan air dan menaruhnya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk tersebut mendidih. Ia menaruh lobak merah di dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan ia menaruh serbuk kopi di periuk terakhir. Ia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah dua puluh minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan menaruhnya di mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya. Lalu ia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur, dan kopi" jawab si anak.

Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Ia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras. Terakhir, ayahnya memintanya untuk mencicipi kopi. Ia tersenyum ketika mencicipi kopi dengan aromanya yang khas.


Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, Ayah?" Ayahnya menerangkan bahawa ketiganya telah menghadapi kesulitan yang sama, perebusan, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeda. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cangkerang tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.

"Kamu termasuk yang mana?," tanya ayahnya. "Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui... Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?"

Bagaimana dengan anda?

Apakah kamu adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau... Apakah kamu adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kamu menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku?

Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimal pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika kamu seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik.

24 Januari 2011

MANISNYA...

Kisah Adam

Coretan saya ini, sekadar ingin berkongsi kisah benar kehidupan seorang lelaki (yang ingin dikenali sebagai Adam) yang dipilih Allah untuk berhijrah daripada kehidupannya yang gelap kepada cahaya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah:257)

Latar Belakang

Sedikit latar belakang kisah sewaktu kecilnya. Dia merupakan seorang anak yang begitu tinggi sifat ingat tahunya dan seperti kanak-kanak yang secara amnya bersifat nakal. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang disamping didikan agama yang baik namun dari sudut pergaulannya, dia amat dikawal rapi oleh kedua orang tuanya sehinggakan dipetang hari tika kanak-kanak yang lainnya bersuka-ria, dia hanya sekadar bermain di halaman rumahnya atau di rumah jiran rapat kepada ibu ayahnya sahaja.

Dia pula dihantar ke sekolah yang terletak di bandar dengan alasan takut kalau-kalau Adam menjadi liar jika bercampur gaul dengan kanak-kanak di kampungnya. Begitulah warna-warni kehidupan Adam, dimana perkembangannya tidak begitu memberansangkan kerana masanya yang banyak dihabiskan di rumah bersama ibu, ayah, kakak dan adik perempuannya. Namun sebagai seorang anak, apa sahaja yang boleh dilakukan, melainkan mendiamkan diri dan mengikut rentak keluarganya. Dalam diam pemberontakan dalam diri yang sangat hebat berlaku.

Sifat ingin tahunya hanya banyak menimbulkan tanda tanya tanpa penjelasan dan dorongan keluarga, Adam lebih banyak belajar dengan caranya sendiri dari sumber-sumber seperti televisyen, movie termasuk video pornografi, observation terhadap keluarga serta kawan-kawannya dan lain-lain lagi, namun banyak ilmu negatif daripada positif, pengetahuan yang ada, kekal dalam dirinya. Kehidupannya seperti kata-kata dari Prince Charles, "I learned the way a monkey learns - by watching its parents." Kerana kebiasaan bersama adik beradik perempuan, Adam mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding kawan lelaki kerana sikapnya yang mudah mesra dengan perempuan sewaktu dia dibangku sekolah, namun dia bukanlah dalam kategori lelaki yang lembut.

Bergelar Mahasiswa

Apabila tamat zaman persekolahannya, Adam melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian swasta. Dimana Adam jauh dari keluarga dan perlu berdikari dengan berbekalankan pengetahuan yang ada bagi meniti kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Ilmu agama yang dia miliki pula tidak begitu mantap, hanya sekadar mengetahui ilmu itu seperti subjek-subjek lain yang dipelajarinya disekolah. Pelbagai perkara yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini, yang dari pelbagai sudut tentang sesuatu perkara, cuba dicari dan dikupas satu persatu.

Karakter yang sudah sebati dalam diri, yang mudah mesra dengan perempuan digunakan sebaik mungkin kerana dia merasakan ada 'kemanisan' yang tersendiri dalam diri, mahluk yang bergelar perempuan. Ditakdirkan Adam bertemu dengan seorang perempuan dikenali sebagai Zulaikha yang rosak moral dan bebas pergaulannya.

Zulaikha

Adam merasa simpati dengan akhlak Zulaikha dan bercita-cita untuk merubahnya, kerana Adam percaya, bukan atas kemahuan Zulaikha untuk bersifat sedemikian rupa. Pasti keadaan sekeliling, cara didikan keluarga dan pengaruh kawan yang menyebabkan Zulaikha berperwatakan begitu. Dengan pengetahuan agama yang cetek, Adam cuba membimbing Zulaikha kepada kebaikan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Adam semakin mendalami kehidupan Zulaikha yang penuh dengan kegelapan dan mereka semakin rapat bagaikan pasangan suami isteri, sehingga mereka mengisytiharkan kepada rakan-rakan tentang percintaan mereka berdua.

Kini cita-cita Adam yang dulunya panas membara bertukar menjadi seperti debu di jalanan, kerana hanyut dibawa arus kemaksiatan. Dia merasakan percintaan bersama Zulaikha adalah rahmat dari Allah kerana Zulaikha dapat membantu dalam pelajarannya, disamping kebahagian hidup bersama teman hidupnya itu. Perkara ini diketahui oleh kedua orang tua Adam, dan percintaan mereka dihalang keras oleh keluarganya. Namun Adam bermati-matian mempertahankan percintaan mereka sehingga sanggup bersikap biadap kepada kedua orang tuanya. Pertama kalinya Adam menyebabkan air mata ibunya berlinangan.

Disamping cerita Zulaikha, Adam juga ingin merubah sikap atau cara hidupnya yang mudah mesra dengan perempuan itu dengan memperbanyakan kawan-kawan lelaki, dan ingin hidup seperti remaja-remaja kebanyakan, kononnya seperti lelaki 'macho', 'stylo' dan 'gangster.' Dan dia berjaya dalam membina hubungan dengan remaja-remaja kampung dan ditempat belajarnya sendiri, yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari hari ke hari, pendirian dan sikap Adam bertambah teruk.

Dia sudah mula terjebak dengan zina, pergaulan bebas, berhibur di kelab malam, rempit, curi motor, rokok dan banyak lagi yang dicubanya. Namun kadang-kadang, jauh disudut hatinya berkata-kata "Kenapa kehidupan aku begini? Seronok, tetapi aku tidak pernah merasa tenang... Masalah pula bertambah-tambah... Bagaimana ibu ayah? Bagaimana Zulaikha bila aku berjauhan dengan dia? Dengan lelaki lain mungkin? Bagaimana agama?" Dan terus soalan-soalan ini dia terfikirkan setiap kali dia membuat maksiat ataupun dia keseorangan.

Dalam masa yang sama dia terus mencari jawapan dan penyelesaian masalahnya disamping maksiat-maksiat yang dia masih lakukan. Kadang-kadang dia mendekati orang-orang tua di kawasan belajarnya, atau pesyarah-pensyarah demi mencari nasihat atau solusi. Semua yang didengarinya disimpan baik dalam kotak memorinya. Kadang-kadang ke masjid atau surau mencari sesuatu, kalau-kalau di sana ada ketenangan. Kadang-kadang sejadah menjadi saksi tangisannya dalam dia mencari makna kehidupan.

Dia masih belum mengerti yang dimaksudkan dengan hidayah dari Allah swt, Al-Quran yang punya pelbagai khabar gembira dan peringatan masih belum menjadi peneman sejati. Kadang-kadang kedengaran bacaan dari surah-surah Al-Quran yang dibaca merdu oleh Adam. Namun maknanya tidak diambil tahu. Adam dalam keluh kesah dan keliru, terumbang-ambing dihempas ombak kehidupan, disamping bisikan-bisikan syaitan yang tidak mengenal erti berputus asa demi meramaikan teman untuk menemaninya dineraka kelak. Adam bagai tiada kekuatan untuk membuat perubahan dalam dirinya sendiri, dan dia terus mengikut arus kehidupan yang penuh 'kebahagian' didalamnya.

Masa berlalu begitu pantas, Adam berasa senang hati apabila dapat menamatkan pengajiannya di peringkat diploma dengan baik. Perhubungan cinta bersama Zulaikha terputus ditengah jalan, selepas mendapat tahu bahawa Zulaikha curang dibelakangnya bersama lelaki lain. Adam sudah berputus asa dengan sikap Zulaikha dan tidak sanggup lagi memimpin Zulaikha yang sememangnya seperti tidak boleh diubah lagi sikapnya. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan kepada Illahi demi kebahagian Zulaikha bekas kekasihnya.

Di saat rasa gembira bercampur sebak itu juga, ditambah pula dengan dugaan yang lainnya, dimana dia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Mungkin ini satu peringatan dari Allah swt atas perkara-perkara yang dilakukan Adam seperti mencuri motor dan bergadai nyawa di jalan raya demi keseronokan dan duit. Selepas sihat dan pulih daripada luka, Adam lebih berhati-hati dalam menunggang motor dan berhenti dari kegiatan mencuri motor dan merempit di jalanan.

Jauh Dari Pantauan Keluarga

Seperti rata-rata mahasiswa, Adam juga meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah. Satu institusi yang lebih jauh dari pantauan ibu ayah dan bukan satu tempat kemasyarakatan seperti taman-taman dan kampung-kampung. Rata-rata penghuni kawasan ini adalah pelajar dan warga asing yang tiada langsung budaya kemasyarakatan, hidup berjiran dan sebagainya. Semuanya sekadar menjaga hal masing-masing. Adam yang kini tiada teman kekasih merasakan dirinya sunyi, dan seperti biasa Adam dengan sikap peramahnya mencari dan membuat hubungan dengan kenalan baru bagi mewarnai kehidupannya di tempat itu.

Adam menyibukkan diri, menyertai pelbagai kelab di institusi barunya dengan niat mencari kenalan baru. Tiada masalah buat Adam dalam usaha ini, memandangkan dia seorang yang 'versatile' dan peramah. Kerana sibukkan keseronokan, pendidikan Adam menjadi kelam-kabut dan punah, tetapi sedikit rasa terkilan pun tidak dirasainya kerana dikaburi keseronokan yang terlampau. Tiada rasa bersalah dengan ibu ayah lagi, silih berganti perempuan, tiada lagi rasa malu dalam diri, dan tetap dengan perangai buruk yang ada. Dia terus menyalahi Zulaikha yang kononnya, perempuan itu menjadi sebab perangainya buruk.

Adam sudah berputus asa dengan rahmat Allah serta menyalahi Allah yang membiarkan kehidupannya sebegitu rupa. Perbelanjaan yang sia-sia terus dilaburkan dari seorang yang bergelar ayah kepada Adam. Masa terus berlalu pergi, namun Adam tetap sebegitu rupa. Kali pertama dibuang dari institusi kerana 'pointer' yang sangat teruk, Adam membuat rayuan bagi meneruskan hasrat yang kononnya dia ingin membuat perubahan dalam pelajarannya. Setelah rayuan diterima, Adam tetap dengan perangai buruknya, tanpa menghiraukan pelajarannya tetap menagih keseronokan dunia yang penuh kemaksiatan. Adam kini menjadi pembela kemaksiatan atas kesan-kesan dosa yang menyebabkan hatinya keras dan hitam.

Hawa

Ditakdirkan Adam berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai Hawa. Seorang perempuan yang begitu menagih cinta Adam, kerana sifat Adam yang penyayang dan begitu mengambil berat tentang dirinya. Adam tidak mahu terikat dengan mana-mana perempuan buat ketika itu kerana dia lebih selesa dengan keadaannya yang bahagia disamping kawan-kawan dan silih berganti teman tidurnya. Namun dia merasakan Hawa mencintainya seikhlas hati, lalu menerima cinta Hawa dengan baik.

Kehidupan mereka berdua begitu 'bahagia' sehinggakan Hawa sanggup menyerahkan jiwa dan raga untuk Adam atas nama cinta. Pada hakikat yang sebenarnya, cinta mereka itu tiada dasar dan hanyalah dorongan nafsu semata. Namun Hawa banyak berkorban masa, tenaga dan harta kerana cinta, semata-mata untuk membawa perubahan dalam pendidikan Adam. Namun usahanya bertemu kebuntuan, sehingga Adam disingkirkan dari institusinya buat kali yang kedua. Kali ini Adam tersentak kuat dengan keputusan yang sangat teruk.

Bertubi-tubi persoalan demi persoalan yang memburu benak fikirannya, "Macam mana sekarang? Nak teruskan lagi ke? Pointer dah teruk, teruskan pun tiada guna... Kerja ke? Kalau ibu ayah tahu macam mana? Perlu belajar tempat lain ke? Perlu tukar course ke? Arrrrgghhhhhh...!!!!" jiwanya menjerit kuat.

Tanpa pengetahuan ibu dan ayah, Adam tersungkur keseorangan, menjerit, menangis, menahan kepedihan dan keperitan yang sedang ditanggungnya itu. Mujur Hawa masih lagi disisinya, terus membantu, menyokong Adam dari pelbagai sudut. Dia mempercayai kemampuan Adam untuk membuat perubahan dalam pelajaran dan kehidupannya. Hawa membantu dalam memberi buah fikiran, idea-idea dan sanggup pula berkorban harta dan masa demi untuk membantu Adam. Keikhlasan Hawa membuatkan Adam bertambah ikhlas menyayangi kekasihnya. Dia cuba bangkit dan bertatih semula menuju menara gading sambil dipapah kekasihnya.

Kata putus dari perbincangan mereka berdua ialah supaya Adam memohon di institusi-institusi lain yang sedang menawarkan kemasukan pada ketika itu, sambil mencari pekerjaan sementara bagi memenuhi masa yang terluang ketika menunggukan jawapan dari mana-mana institusi yang dipohon mereka.

Walaupun kisah Adam kali ini penuh kepahitan, dugaan, dan pengorbanan, namun akhlaknya masih belum menampakkan perubahan. Perhubungannya dengan Sang Maha Pencipta masih tidak terjaga, walaupun kadang-kadang terdetik dihatinya, "macam mana nak jadi baik? Haihs..". Malah Adam mengheret kekasihnya juga ke kancah kemaksiatan. Sayangnya, kerana Hawa merasakan selesa dan kemanisan dalam perkongsian hidup bersama Adam, padahal kegelapan menutupi kehidupan mereka berdua.

Titik Kesedaran

Selang beberapa bulan, keputusan permohonan Adam di salah satu institusi diterima dan ditawarkan tempat bagi Adam melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah di situ. Kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dapat dilihat dari riak wajah Adam. Tanpa berfikir panjang Adam ditemani kekasihnya menguruskan pinjaman dan pembayaran deposit sebelum memulakan pendidikannya.

Terlintas di kotak fikiran Adam, "apakah pantas untuk aku meneruskan pendidikan dengan attitude aku yang sebegini rupa?" Kini Adam benar-benar menyedari bahawa dia tidak akan dapat pergi jauh dengan akhlaknya yang sangat teruk, maka Adam berusaha mencari mana-mana tempat yang menganjurkan kursus motivasi diri. Seorang kawannya mencadangkan supaya Adam pergi ke satu kursus yang pernah kawannya itu hadiri, dan satu impak positive yang besar berlaku pada diri kawannya kini. Tanpa berfikir panjang dan dipersetujui kekasihnya, Adam turut menghadiri kursus itu dengan hasrat supaya kursus yang akan dihadirinya dapat memberikan impak yang besar dalam dirinya.

Dengan keizinan Allah, suatu yang seperti ajaib terjadi dalam dirinya, seperti seorang yang meraba-raba dalam kegelapan, berjaya melepaskan diri kepada cahaya dengan bantuan sesuatu. Kini Adam memperakui dosa-dosanya dan dia bertaubat dihadapan Allah, memohon keampunan, berjujuran air mata, menggigil dia kerana takut akan dosa-dosanya, sehinggakan Adam begitu takut untuk keluar dewan menghadapi realiti kehidupan yang penuh dusta. Allah berfirman:

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nur:35)

Kini Adam yang bagai punya dua personaliti, baik dan jahat dalam dirinya saling bercekaran merebut tahta pemerintahan dalam diri Adam. Dengan semangat baru yang berkobar-kobar, dia merangkul segala ilmu agama yang dipelajarinya dibangku sekolah dahulu, menukil kembali nasihat-nasihat yang pernah didengarinya dahulu. Al-Quran yang dulunya sekadar perhiasan kini menjadi teman, semuanya dikumpul dan diletakkan dihadapannya sebagai panduan kehidupan dalam setiap pekara. Allah swt dirasakan dekat, mencintai dan merindui Rasul saw dan Allah swt.

Rutin sehariannya kini mencari keburukan diri, dan perlahan mencari solusi kepada setiap permasalahan dirinya. Prasangka buruk dalam diri hilang, sikap membanding-bandingkan terkubur, riak dan banyak sikap negatifnya yang secara drastik berubah dan hilang dalam diri Adam. Dia kini sangat dahagakan ilmu demi mempertingkatkan akhlak diri dan memperbaiki kehidupan sebagai seorang pelajar dan akan punya kerjaya serta bakal menjadi pemimpin rumah tangga satu hari kelak.

Di institusi barunya, dia menunjukkan kejayaan dalam bidang akedemik dan kokurikulumnya. Namun dalam masa yang sama, kekasihnya Hawa merasakan tidak selesa dengan perubahan yang terjadi dalam diri Adam. Dia seperti kehilangan Adam yang dia kenal dulu, sedikit demi sedikit Hawa menarik diri dari Adam. Cintanya kepada Adam semakin pudar. Mungkin kerana waktu bersama dengan Adam semakin berkurangan, bilamana Adam menghadkan waktu untuk mereka bersama. Adam sudah banyak berubah ke arah ke-Islaman. Keseronokan yang dulunya Hawa nikmati bersama Adam sudah hilang dengan perubahan pada diri Adam.

Ujian Kebenaran Cinta

Niat Adam sekadar ingin menjaga silaturrahim mereka berdua, kerana Adam benar-benar mencintai Hawa dan bercadang untuk memperisterikan Hawa bila habis pengajiannya kelak, disamping ingin menghormati diri Hawa sebagai makhluk ciptaan Allah yang cantik dan bersifat lemah. Mungkin juga Adam terlalu keras dalam membimbing Hawa, yang menyebabkan Adam semakin hilang dari hatinya. Mungkin juga Allah ingin menguji kebenaran cinta Adam kepada Allah swt dan Rasul saw.

Namun perkara ini dilalui tenang oleh Adam, kerana dia kini seorang yang percaya pada ketetapan baik dan buruk oleh penciptanya. Dan dia memaafkan Hawa dan amat bersyukur diizinkan Allah berkenalan dengan manusia yang bernama Hawa. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan demi kebahagiaan Hawa untuk dunia dan akhirat.

Adam kini terus dengan perjuangannya, dia perlu meletakkan fokus pada pendidikannya. Disamping memperkuatkan ilmu agama, mempelajari hadis, perbaiki bacaan Al-Quran sambil meningkatkan keimanannya kepada Allah dan Rasul. Dia menjadi seorang yang amat risaukan tentang bagaimana dan cara apa yang perlu dilakukannya bagi menjadikan impian Rasul saw sebagai satu kenyataan sehingga bayi yang terakhir lahir ke dunia pun dapat masuk ke syurga Allah swt. Kehidupannya kini kelihatan bahagia, bagaikan tiada masalah, walaupun berseorangan. Mungkin kerana keyakinannya terhadap bantuan dari Sang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Moga kita sama-sama dapat doakan kesejahteraan Adam. Semoga Adam dapat beristiqamah dan bermujahadah dalam usaha memperbaiki diri dan berdakwah menyebarkan agama Allah.

Allah bersumpah demi jiwa dan seluruh penyempurnaan-Nya. Setelah itu Dia mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan kepada manusia. Maka beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.

17 Januari 2011

DALAM TARBIYAH RASA=)...

Bismillahirrahmanirahim...
Alhamdulillah, lama benar rasanya kali ini tidak berutus khabar berkongsi cerita. Hendaknya semua teman2 maya berada dalam keadaan sihat walafiat senantiasa bersama yang tersayang di sisi. Amin.

 
Diuji Allah S.W.T dalam tarbiyah rasa. Mungkin diri melupai-Nya buat seketika. Lantas diberi demam, batuk dan selsema yang buatkan diri degil ini terlantar di katil hampir dua hari. Dalam pada itu, kemampuan diri untuk bergerak begitu terhad. Kepala dirasakan terlalu berat dan sangat sakit. Alhamdulillah, DIA titipkan bersama teman seperjuangan yang prihatin. Mengambil berat tentang keperluan diri. Terima kasih.
 
Hampir bertahun-tahun tidak merasainya. Sudah juga saya lupakan tentang rasa bagaimana demam itu. Semalaman terlantar, teman mengajak saya ke hospital. Berat hati. Sangka saya, masih kuat dan mampu bertahan sebagaimana sebelum2 ini. Tapi kali ini saya benar2 akur. Terlalu lemah tidak berdaya sekalipun untuk membuka mata.
 
"Barangsiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan maka ditimpakan ujian padanya." 

Syukur. sekurangnya-kurangnya saya tahu, saya berada dalam pengawasannya sentiasa. Tuhan kita, Allah S.W.T tidak pernah sedikitpun melupakan kita. Melainkan kita sendiri yang terlalu leka mengejar duniawi. Sehinggakan terlupa tentang matlamat asal kehidupan. Ditimpakan sedikit kesakitan agar diri terbangun dari ralit yang membuai, menyedarkan dari mimpi yang berterusan. Patut untuk saya bersyukur atas nikmat kesakitan yang diterima;) Alhamdulillah.

"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggurkan daunnya." (Hadis Riwayat Muslim) 

"Bila lagi awak demam?"
"Baru semalam..."

Rasa janggal tiba2, apabila dikeliling ramai jururawat dan beberapa orang doktor. Tersenyum. Tangan dicucuk jarum untuk dimasukkan air. Takut. Memang. Saya kecut berhadapan situasi2 seperti itu. Gerun pada darah yang memang teruk.

"40. Suhu awak tinggi." Saya tersenyum.

"Tapi, awak tak nampak apa2 pun dengan suhu tinggi tu."

Tersenyum lagi. Teman di sisi segera bersuara. Kata2 dia buat hati saya pula yang mengukir senyum.

"Tak boleh nurse. Dia kena kuat. Kalau dia lemah, saya pun lemah. Hehe..."
"Ya Nurse. Aja2 Fighting!!!" Sambil angkat tangan dan menggegamnya. Tersenyum. Hehe...

Hebat rasanya, bila punyai teman untuk sama2 kuat menempuh dugaan Tidak hanya ketika waktu senang, malah masih seiring saat susah. Alhamdulillah, semoga kita semua dikurniakan teman dunia akhirat. Bukan hanya di sini, tetapi masih tetap bersama di alam sana. Insya-Allah.

Jumpa lagi. Moga dalam redha Ilahi sentiasa. Cuma sedikit coretan sebagai perkongsian dan renungan bersama. Ingatlah, Dia sentiasa ada, Dia sentiasa melihat^^...
 
Dalam tarbiyah rasa,
ash_mza=)
11.14
IPGMKTAA
C217 semester3 2011

08 Januari 2011

PUASA SI MISKIN...

Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 
 
"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je makcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu. 
 
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".  
 
 
Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. 

Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. 

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh...! Kita dapat makan daging malam ni...!"

Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi.  

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka.  

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar:
Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah makcik.."
Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? 

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu, dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. 

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."

Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM20.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

05 Januari 2011

SEPARUH PERJALANAN...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Ilahi mengukir kata pada kanvas maya. Doaku buat kalian semoga berada dalam keadaan sihat walafiat bahagia dalam jagaan-NYA. Amin=)

Bakal menjengahkan hari keenam tahun baru 2011, serasanya inilah entry pertama yang mampu dikongsi bersama. Sedar tak sedar, saya dan teman seperjuangan yang lain hampir berada di tengah pelayaran. Kembara waktu yang panjang dirasakan selama ini rupanya cumalah sesingkat waktu bersama.

Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
"Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu."


Pendakian menjejak bukit ilmu bersama diharapnya mendapat rahmat dari Tuhan Yang Esa. Pertalian antara kita semua doaku sentiasa meriah dan penuh dengan kasih sayang tanpa sebarang hasad prasangka dan dendam. Hendaknya disulami dengan anyaman kejujuran dan keikhlasan. Pertemuan yang hanya lima tahun setengah ini diharapnya mampu abadi hingga ke singgahsana syurga firdausi sana kelak Insya-Allah. Amin Ya Rabbal A'lamin.

“Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis Riwayat Muslim)

Anas Ibn Malik pernah meriwayatkan hadis yang bermaksud :
"Dan tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Walau dulu mulanya kita tanpa kenal. Namun kini rasanya kita telah mulai rasi biarpun apa yang dihadapi. Bersama itu pasti kita lalui. Dengan azam baru, rasa hati yang baru, ayuh kita teruskan langkah yang dimulakan sahabatku. Perjuangan ini masih berbaki.
Terima kasih semua.

Hanya secebis tinta.
ash_mza=)
10:48pm
IPGMKTAA
C217 semester3 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...