19 Julai 2011

INGIN BERGELAR SELEBRITI? AYUH...!

Selebriti syurga : Tidak terkenal di kalangan penghuni bumi, tetapi tersohor di kalangan penghuni langit.



Hari ini ramai orang yang ingin menjadi selebriti. Ya, selebriti yang dikenali oleh kebanyakan orang. Bahkan kehidupannya dikelilingi dengan kemahsyuran, keglamoran dan kepopularan. Dunia selebriti menjadi impian dan angan-angan sesiapa sahaja.

Dilimpahi kemewahan, kekayaan dan kesenangan yang mengiurkan hati.

Hati senang, jiwa lapang dan kehidupan kian berkembang!

Betulkah anggapan saya ini?

Jika tidak, tidak ramailah manusia  berpusu-pusu, berebut-rebut dan berlumba-lumba untuk menyertai pelbagai pertandingan ala-ala rancangan realiti televisyen yang kian bercambah di dunia penyiaran hari ini.

Jika tidak, tidak bersesak-sesaklah  anak-anak muda sama ada lelaki ataupun perempuan beratur dan berbaris berjam-jam untuk “mencuba” nasib di dalam ujian bakat yang diadakan di seluruh negara. 

Jika tidak, tidak adalah yang sanggup berhabisan wang, tenaga, masa dan segala-galanya datang dari pelbagai tempat pendalaman dan sebagainya hanya kerana ingin megikuti ujian saringan dalam mencari selebriti-selebriti dunia hiburan dan sebagainya.

Dunia selebriti yang dicari-cari

Dunia selebriti sememangnya menjadi dambaan sekalian ramai orang. Bahkan saya yakin, anda juga terdetik untuk menjadi selebriti?

Selebriti yang tidak terbatas hanya kepada dunia artis sahaja. Tetapi, dunia yang meliputi semua bidang kehidupan. Ia membawa seseorang itu kepada dunia yang akan membuatkan dirinya –  mendapat perhatian dan menjadi sebutan di mana-mana.

Menjadi pemain bola sepak. Itu juga selebriti.

Menjadi ketua pengawas. Ketua organisasi atau jawatan dalam sesuatu persatuan. Ala-ala selebriti.

Menjadi penceramah yang terkenal yang diminati ramai orang.

Menjadi ikon masyarakat. Itu juga selebriti.

Menjadi pemimpin masyarakat. Disegani dan dihormati.

Menjadi pelakon, artis dan pengacara televisyen. Itu juga selebriti.

Menjadi penulis skrip, lirik, novelis dan sastera. Itu juga tokoh selebriti.

Teringat saya kata-kata seorang pendakwah terkenal Indonesia, Pak Agym :

“Hari ini ramai orang ingin menjadi BINTANG. Mahukah anda menjadi BINTANG? Bukan di pentas, bukan di televisyen tetapi di hadapan Allah.”

Semua orang punyai keinginan dan kemahuan jadi selebriti. Menjadi bintang atau selebriti itu kan kebanggaan keluarga? Disanjung dan dipuja orang. Seperti bintang-bintang Akademik Fantasia  yang digilai oleh anak-anak muda malah ‘nenek-nenek muda’!

Tetapi menjadi selebriti  di dunia hanyalah bersifat sementara. Hilang kecantikan, kemahiran, bakat  atau ketampanan di wajah atau kelunakan suara, selebriti tersebut akan dilupakan orang. Atau lahir selebriti  baru yang lebih hebat, perhatian tidak tertumpu lagi kepada selebriti  lama. Itulah dunia, pasang surutnya.

Namun, apabila kita menjadi  selebriti di mata Allah, kepopularan kita tidak akan hilang selagi kita mengekalkan prestasi kita. Tidak kira berapa banyak selebriti  baru muncul atau semakin usia kita meningkat, kita akan tetap menjadi  selebriti Allah. Kita tetap mendapat perhatian, terkenal dan disanjung.

Sanjungan itu bukan dikalangan penghuni bumi, tetapi mendapat sanjungan, pujian dan penghargaan daripada penghuni langit. Tidak terkenal dikalangan ahli-ahli dunia tetapi cukup hebat dan terkenal dikalangan ahli-ahli langit.

Bagaimana mahu menjadi selebriti  di hadapan Allah?

Selebriti di sisi Allah SWT, terkenal di langit tinggi mendapat pengiktirafan yang istimewa.

Itulah selebriti Syurga. Ia umpama Very Very Important Person (VVIP) yang akan mendiami jannah yang sangat indah lagi mempesona. MasyaAllah.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda :

“Siapa pun yang memasuki syurga, maka ia akan merasakan kenikmatan dan tidak akan menderita. Pakaiannya tidak akan lusuh dan masa mudanya tidak akan habis. Di syurga terdapat hal-hal yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga dan tidak pernah terlintas di benak fikiran manusia.”

(HR Muslim dan Ahmad)

Selebriti  di sisi Allah SWT – ia bergemerlapan dengan sinar cahaya keimanan, wajahnya putih berseri kesan daripada air wudhuk serta kerap sujud menyembah Allah SWT, berprestasi dengan amal-amal nyata yang cemerlang, penuh kesungguhan dalam beramal, konsisten dalam memperkasakan medan dakwah dan sentiasa memelihara kebersihan, kejernihan & kesejahteraan hati.

Sirah Sang Penghuni Langit : Selebriti di sisi Allah SWT

Saya ingin berkongsi sebuah kisah sirah yang menarik. Kisah seorang tabi’in pada zaman Rasulullah SAW yang tidak pernah berjumpa Rasulullah SAW tetapi, baginda mengiktirafnya sebagai seorang sahabat. 

Namanya cukup cantik dan indah didengar. 

“Uwais al-Qarni” 

Itulah namanya.

Seorang pemuda yang bermata biru, rambutnya merah, berpenampilan cukup segak, kulitnya kemerah-merahan, fakir miskin, ahli Al-Quran dan selalu menangis, tiada orang pun yang peduli atau menghiraukan tentang dirinya ketika hidup : tidak terkenal di kalangan penghuni bumi akan tetapi sangat terkenal di kalangan penghuni langit.

Uwais adalah pemuda yang berasal dari Yaman. Ketika, tersebarnya ajaran Islam di tanah Arab – beliau begitu terpesona dengan keindahan dan keadilan Islam. Inilah deen dan cara hidup yang dikehendakinya. Sinar kebenaran yang akan menyinar kegelapan dunia jahiliyah. Ketika, ajaran Islam sampai di Yaman, Uwais tanpa berlengah terus beriman dengan Rasulullah SAW dan beriktikad bahawa Allah SWT adalah Rabb-Nya.

Ramai di kalangan jiran tetangganya yang memeluk Islam pergi ke Madinah untuk bertemu Rasulullah SAW untuk bertemu secara langsung dengan baginda. Mereka mempelajari cara hidup Islam dan apabila pulangnya ke Yaman – cara hidup mereka telah berubah : hidup sebagai seorang muslim!

“Cemburu”, itulah yang dirasai oleh Uwais.

Kehangatan kecintaan dan kerinduaan beliau kepada baginda Rasulullah SAW semakin membuak-buak. Hajat sungguh, lalu beliau bertekad untuk bertemu baginda. Beliau memiliki seorang ibu yang uzur dan berusia. Setiap hari, segala keperluan dan urusan peribadi ibunya, beliau yang mengambil tanggungjawab dengan penuh suka, rela dan gembira.

Beliau sangat menghormati dan menjaga ibunya dengan jagaan yang baik. Kerana perasaan yang rindu yang bersangatan untuk bertemu dengan akhirnya pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan pergi menziarahi Nabi SAW di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permintaan anaknya. Beliau memaklumi perasaan Uwais, dan berkata :

“Pergilah wahai anakku ! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang”.

Uwais mengucapkan terima kasih kepada ibunya, lantas dipersiapkan barangan untuk ibunya yang mencukupi disepanjang peninggalannya.

Sesudah itu setelah menciumi sang ibu, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang jaraknya lebih  kurang empat ratus kilometer dari Yaman. Padang pasir  yang begitu ganas dilaluinya, tak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi SAW yang selama ini dirindukannya. Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah.

Ketika berada dihadap pintu rumah Rasulullah SAW, isteri baginda Sayyidatina ‘Aisyah RA memaklumkan  tiada di rumah kerana sedang berada di medan perang. Namun, dengan ketetapan dan keizinan Allah SWT – beliau tidak berpeluang bertemu dan menatap wajah Rasulullah SAW secara bersemuka. Beliau menunggu dengan penuh kesabaran.Namun, suatu hari beliau menerima berita dari Yaman bahawa ibunya sakit tenat. Maka, dengan perasaan yang berat Uwais meninggalkan.

Sepulangnya dari perang, Nabi SAW langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahwa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit).

Mendengar perkataan baginda Rasulullah SAW, sayyidatina ‘Aisyah RA dan para sahabatnya terpegun. Menurut makna sayyidatina ‘Aisyah RA, memang benar ada yang mencari Nabi SAW dan segera pulang kembali ke Yaman, karena ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah SAW bersabda : Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.” Sesudah itu baginda SAW, memandang kepada sayyidina Ali RA dan sayyidina Umar RA dan bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.

Wah! Inilah kisah yang sangat luar biasa. Uwais al-Qarni, apabila menadah tangan dan berdoa, insyaAllah permintaannya akan dikabulkan oleh Allah SWT. MasyaAllah – tentunya beliau bukanlah manusia biasa.

Akhir hayat yang aneh dan mengejutkan

Dan, di saat akhir hayatnya – berlaku banyak perkara-perkara yang aneh. Setelah meninggal dunia, jenazahnya telah diuruskan oleh jumlah orang yang sangat ramai yang tidak dikenali oleh penduduk kampunganya.

Sedemikian banyaknya orang yang tidak dikenal muncul  untuk mengurus jenazah dan perkuburannya , padahal Uwais adalah seorang fakir yang tak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah bersiap siaga  melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.

Mereka saling bertanya-tanya :

“Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni ?”

Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala domba dan unta ?

Tapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya.

Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa “Uwais al-Qarni” ternyata ia tak terkenal di bumi tapi terkenal di langit.

Prasyarat menjadi selebriti syurga

Saya tersentuh apabila membaca kisah Uwais al-Qarni. MasyaAllah, beliau adalah seorang yang sederhana, fakir miskin, tawadhuk, solat, warak dan berhati mulia. Tentunya beliau mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Inilah selebriti syurga contoh yang harus diteladani dan diikuti.

Seharusnya kita, mencontohi selebriti sebegini. Tidak perlu terkenal di dunia yang fana ini. Tetapi, di sisi Allah SWT mendapat darjat dan martabat yang tinggi.

Allah SWT pandang kepadanya. Tentunya, untuk menjadi calon selebriti syurga – kita harus menepati syarat-syaratnya.

Saya teringat suatu tazkirah oleh Murabbi saya :

“Untuk menjadi ahli syurga kita harus zero dosa!”

Ahli syurga tiada langsung dosa yang tercalit padanya. Taubat menjadi suatu kemestian dan kewajipan yang dilakukan saban hari agar segala dosanya tersirna dan terhapus. Itulah hakikatnya, segala kesalahan, keaiban, dosa-dosanya dan nodanya telah terhapus dengan segala usaha amal ibadah.

Inilah istimewanya untuk menjadi calon selebriti syurga. Hidupnya dipenuhi dengan amalan soleh yang mendekatkan jiwa dan hatinya terhadap Allah SWT.  Ada sesuatu yang perlu kita gerakan untuk menjadi selebriti syurga.

Marilah kita perbaharui taubat dan istighfar kita setiap masa!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Setiap anak Adam mempunyai kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan ialah orang-orang yang bertaubat.”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ad-Darimi)

Al-Fudhail Bin Iyadh berkata : “Beristighfar tanpa meninggalkan perbuatan dosa ialah taubatnya para pendusta.”

Sayyidan Aisyah RA berkata, “Beruntunglah orang yang mendapat dalam lembaran catatanya istighfar yang banyak.”

Hassan al-Basri berkata, “Perbanyakanlah beristighfar di rumah-rumah kalian, di meja-meja makan kalian, di jalan-jalan kalian, di pasar-pasar kalian,  dan di majlis-majlis ilmu kalian! Sebab, kalian tidak tahu bila keampunan itu akan turun.”

17 Julai 2011

ALLAH... DIA BUAH HATI SAYA...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah. Ada sedikit waktu yang saya kira dapat bersuara dalam nada 'mute' di sini. Sudah banyak kali ingin berkongsi. Sudah banyak kali ingin menulis. Tapi yang seringkali terhasil adalah kata yang langsung tidak terzahir pada kanvas maya ini. Moga sahabat2 kalian senantiasa berbahagia dan sihat wal'afiat.

Allahuakbar. Perjalanan akhir2 ini bagaikan tergalas mehnah yang benar2 meresahkan jiwa. Banyak dosa yang tidak terhitung, barangkali tidak tersedar lantas membuatkan diri ini gusar hampir setiap waktu. Allah hu Allah...

Hal2 yang sedikit apabila dihimpunkan, mampu menghimpunkan rasa kurang enak lantas menyesakkan dada. 

Apabila dikhabarkan si Ibu, berita tentang anak asuhannya akan berpindah, untuk seketika saya rasakan jarum jam telah berhenti berdetik. Kaget. Senyum saya hilang tiba2. Mata terasa panas. Saya tahan sedaya mungkin.

Saya gunakan sisa masa yang ada untuk bermain dengan anak asuh yang dijaga emak sejak usia tiga bulan itu sebaik mungkin. Hati saya menafsir rasa gelisah yang saya hadapi lewat kebelakangan ini. Saya mengerti. Sudah lama saya tidak merasa kehilangan. Peritnya beginilah.

Kalau dahulu, jiran saya yang paling rapat berpindah, saya akan menangis apabila menjelang malam. Teringat kenangan bersama, bermain bersama. Dan kalau dahulu, kucing saya yang saya belai setiap masa tiada, rungsingnya usah kira. Itu hanyalah haiwan yang tidak mampu bersuara, melainkan "Meowww..." Inikan pula seorang manusia, seorang kanak2, yang besarnya di hadapan mata. Allah, kuatkan hamba.

Allah, dia buah hati saya. Entah kenapa. Saya rasa kehilangan. Padahal dia bukan kanak2 pertama yang dijaga emak. Tapi sayang saya padanya teramat. Ketawa dia, senyum dia, merajuk dia, tangis dia. Terakam jelas di ruang minda saya. Hati saya tak sudah merindui dia. Allah.

Apa yang dapat saya pesankan pada hati juga diri saat ini, sabarlah. Tuhan tahu yang terbaik. Pastinya setiap pertemuan akan ada perpisahan. Perpisahan takkan berlaku sekiranya tiada pertemuan.

Adik belajar merangkak;)

Gigi kamu yang comel^_^

Akil dah jadi kanak2. Besar nanti jadi anak soleh ya!

Dua rasa...
ash_mza=)
11:18pm
Baiti Jannati/IPGMKTAA

10 Julai 2011

KURNIAKANKU ZAUJ SOLEH...

Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti. Itulah sedikit dari bait2 lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang :


1-Kuat agamanya. Biar sibuk macam mana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

2-Baik akhlaknya. Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

3-Tegas mempertahankan maruah. Pernahkah dia menjengah ke tempat2 yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

4-Amanah. Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

5-Tidak boros. Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

6-Tidak liar matanya. Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

7-Terbatas pergaulan. Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

8-Rakan pergaulannya. Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

9-Bertanggungjawab. Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibu bapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab.

10-Tenang wajah. Apa yg tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya...

P/s: Diri senantiasa mendamba yang terbaik untuk menemani dalam juang kehidupan. Namun masih jua  ada ragu, adakah diri ini cukup solehahnya untuk mencari calon sedemikian sempurnanya. Ayuh semua, kita sama2 jadikan diri yang terbaik, yang terpelihara, yang soleh juga solehah. InsyaAllah^_^

06 Julai 2011

EH, KAMU NAK JADI USTAZAH KE...???

Hari itu adalah hari penyerahan kad laporan peperiksaan. Seperti biasa ibu bapa sibuk bertemu dengan guru-guru kelas dan guru-guru yang mengajar untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka. Tiba-tiba datang rakan saya Ustazah Sal mengadu.
"Macam-macam perangai la parents ni!" rungut Sal
"Kenapa Sal?" Tanya saya
"Tu, ada mak pelajar saya tadi, anak dia dapat 96% untuk subjek Pendidikan Islam, dia bukannya bersyukur, tapi kata pulak kat anak dia..."
"Kata apa?" tanya saya ingin tahu.

  
"Sambil marah, dia sindir pada anak dia, "Eh, kamu nak jadi ustazah ke, dapat agama tinggi nih?" Mana saya tak sedih" kata Sal.
"Dah la tak syukur, pandang rendah pula kat subjek Pendidikan Islam, lepas tu, ingat jadi ustazah tu hina sangat ka" tambah Sal, lagi.
Saya perasan, memang Sal amat terkilan, saya pun terkilan. Ini bukan masalah menjatuhkan air muka seorang rakan, tapi soal sikap ibu bapa hari ini. Serta sikap segelintir masyarakat secara keseluruhannya. Pendidikan Islam dianggap tidak penting dalam senarai pencapaian akademik mereka. Biar Pendidikan Islam dapat rendah, asalkan subjek lain terutamanya Matematik dan Sains dapat tinggi. Baru masa 'depan' terjamin, fikir mereka.
Namun lebih jauh dari itu, terdetik di hati, Pendidikan Islam bukan sahaja untuk dikuasai semasa peperiksaan, bahkan matlamat sebenarnya adalah untuk diamalkan. Hari ini manusia memandang rendah pada pendidikan Islam sebab mereka melihat pendidikan ini menggunakan kacamata maddiyyah (kebendaan). Mereka lihat masa depan yang dekat. Tidak mencecah ke alam yang satu lagi.
Realitinya kini agak berbeza. Daripada sekian ramai pelajar-pelajar yang melangkah pergi sekolah, berapa ramai yang belajar kerana Allah. Sekurang-kurangnya untuk pendidikan Islam, tasawur Islam atau seumpamanya, berapa ramai yang ikhlas untuk mengamalkan ilmu serta mendakwahkan kepada orang lain.
Daripada sekian ramai ibubapa yang menghantar anak ke sekolah, berapa ramai yang mengharapkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharapkan anaknya menjadi doktor yang hebat serta jurutera yang cekap.
Soalan yang saya sendiri tak mampu menjawabnya.
Saya teringat lagi hari penyerahan kad laporan itu. Memang tak dinafikan ramai ibu-ibu yang tidak bertudung, memakai jean, blaus dan seumpamanya. Tapi, namanya Islam. Ibu-ibu inilah yang akan dan sedang mendidik anak-anak muda generasi baru.. Salah satunya saya sapa:
"Assalamualaikum, puan!"
"Selamat pagi" jawabnya.
Terkedu saya dibuatnya.

02 Julai 2011

KITA YANG SEBENARNYA...

Suatu hari, seorang bapa dari sebuah keluarga yang kaya raya membawa anak lelakinya ke dalam sebuah kampung dengan tujuan menunjukkan kepada anaknya itu kehidupan orang-orang miskin. Mereka bermalam selama beberapa hari di sebuah ladang yang didiami oleh golongan yang sangat miskin.

Di dalam perjalanan pulang, si ayah bertanya kepada anaknya, "Macam mana percutian kita kali ni?"

Si anak menjawab, "Menarik dan hebat, ayah,"

"Kamu sudah melihat sendiri bagaimana susahnya kehidupan mereka yang tidak berharta?"

"Ya."

Bertanya lagi si ayah, "Jadi, apa yang kamu dapat kali ni?"


Lalu si anak tadi memberikan jawapan yang agak panjang,

"Kita ada dua ekor anjing dan mereka ada empat. Kita ada kolam yang terletak di tengah-tengah taman tetapi mereka mempunyai sungai yang tidak berpenghujung. Kita ada lampu yang diimport di taman kita tetapi mereka ada bintang-bintang di langit pada waktu malam. Keluasan tanah kita sehingga ke halaman hadapan tetapi mereka mempunyai keluasan sehingga ke kali langit,"

"Kita tinggal cuma di atas tanah yang kecil sedangkan mereka mempunyai padang yang sangat luas saujana mata memandang. Kita ada pembantu untuk membantu kita tetapi mereka memberi pertolongan, bukan meminta. Kita membeli makanan kita tetapi mereka menanam sendiri makanan mereka. Kita ada dinding sahaja untuk melindungi kita sedangkan mereka mempunyai sahabat handai yang melindungi mereka."


Si ayah terdiam mendengar jawapan anaknya. Si anak tersebut kemudiannya berkata, "Terima kasih ayah, kerana menunjukkan kepada saya betapa miskinnya kita."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...