14 Ogos 2012

UBAT KEAJAIBAN...

Dari sebalik pintu kamar, Sofia mendengar perbualan ayah dan ibunya. Kata ayah, kalau nak buat rawatan, adik perlu wang yang banyak. Ayah tak ada wang sebanyak itu. Habis apa yang boleh dilakukan untuk adik? Kata doktor, adik perlu dibedah segera. Sakit adik sudah teruk, tak boleh dibiarkan lagi.


Sofia mendengar ayahnya berkata: "Hanya keajaiban yang boleh selamatkan Hazwan!"

Keajaiban? Sofia mengulangi perkataan itu. Apa itu keajaiban? Benarkah keajaiban boleh selamatkan adik? Kalau boleh, Sofia nak bantu ayah dapatkan keajaiban. Sebab Sofia mahu adik sihat. Tidak lagi sakit seperti sekarang.

Sofia berlari kebiliknya. Lalu diambilnya tabung kecil di dalam almari pakaiannya. 

Pranggg!!! Berderai tabung tanah liat itu setelah dihempaskan ke atas lantai. Sepuluh sen... Dua puluh sen... Tiga puluh sen.... Perlahan-lahan Sofia mengira satu persatu duit syiling yang bertaburan dari tabung pecah itu. Ada RM11.50! Itulah duit simpanan yang Sofia ada. 

Sofia masukkan wang itu ke dalam plastik. Sofia segera pergi ke sebuah kedai di deretan kawasan rumahnya. Di kedai itu ada dijual pelbagai jenis ubat. 

Gadis kecil itu masuk ke dalam kedai. Namun kehadirannya tidak diperlukan. Si penjual ubat leka melayan seorang pelanggan.

Tinggg!!! Dentingan wang syiling di atas kaunter mematikan perbualan. Taktik Sofia untuk mencuri perhatian Si penjual ubat berjaya. 

"Adik saya sakit. Saya nak beli ubat. Ini semua wang yang saya ada," kata Sofia sambil mengeluarkan segala syiling di dalam plastik yang dipegangnya. 

"Ubat apa yang kamu mahu?" Tanya Si penjual acuh tidak acuh. Malas dia hendak melayan karenah anak kecil begitu.

"Saya nak beli ubat bernama keajaiban!" Penuh yakin Sofia menjawab. 

Dahi Si penjual berkerut kehairanan lalu bertanya: "Keajaiban? Ubat apa itu?

"Saya tak tahu pakcik. Tapi saya dengar ayah saya kata hanya keajaiban yang boleh menyelamatkan adik saya. Sebab itu saya datang nak beli ubat keajaiban!" Jawabnya polos. 

"Mana ada jual ubat keajaiban di sini! Sudahlah, pergi balik!" Usir Si penjual, malas mahu melayan karenah anak kecil itu. 

"Tidak pakcik. Saya tak mahu balik. Saya ada duit. Saya nak beli ubat keajaiban dengan duit ini. Tolong saya pakcik. Beritahu berapa harganya," rayu Sofia dengan pandangan hiba. 

Pelanggan lelaki yang berada di sebelah Si penjual tertarik hati mendengar rintihan Sofia. Lantas dia bertanya: "Anak kecil, keajaiban apa yang sedang kamu cari?"

Air mata Sofia mula menitis. Dalam sendunya, gadis kecil itu menjawab: "Saya tak tahu pakcik. Adik sakit. Ayah kata cuma keajaiban yang boleh sembuhkan adik. Sebab itu saya datang nak beli keajaiban!"

"Berapa wang yang kamu ada untuk membeli keajaiban itu?" Tanya lelaki itu lagi. 

"RM11.50! Hanya ini yang saya ada!" Pantas Sofia menjawab. Lelaki itu memegang tangan Sofia lalu berkata: "Mungkin kamu boleh beli keajaiban dengan wang sebanyak itu. Marilah, bawa pakcik ke rumah kamu. Pakcik mahu melihat adik kamu!"

Rupa-rupanya lelaki itu adalah seorang doktor pakar bedah. Setelah melihat keluarga Sofia, lelaki itu menawarkan diri untuk melakukan pembedahan merawat Hazwan.

Dan apabila Si ayah bertanya berapa kos yang perlu dibayarnya, dalam senyuman doktor itu menjawab: "Hanya RM 11.50! Itulah harga sebuah keajaiban yang perlu dibayar Si gadis kecil ini."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...