27 November 2013

25 Oktober 2013

HARI PERTAMA...

Seorang pemuda yang baru keluar penjara setelah 10 tahun dipenjara sejak dari umurnya 18 tahun, singgah di sebuah kedai menjual kopiah berhampiran penjaranya.

Pemuda: "Abang, berapa harga satu kopiah ni?"

Bro: "RM30."

Pemuda: "Tak boleh kurang sikit?"

Bro: "Orang macam kau ni tak payahlah pakai kopiah." 


Pemuda mendiamkan diri. Meletakkan kembali kopiah putih tersebut.

Bro: "Orang kalau dah tak baik, pakai kopiah macam mana pun tak akan dapat tudung kejahatan dia buat. Jangan rosakkan imej orang lain yang berkopiah pula. Tak payah pakailah, senang. Kalau pakai, tapi perangai macam syaitan bukan ke hipokrit, munafik namanya? Berpura-pura baik dengan imej berkopiah di hadapan orang. Yang di facebook pula sibuk letak imej berkopiah untuk melariskan diri sendiri dengan imej yang baik. Hak tuih!"

Pemuda: "Tak mengapalah macam tu bang. Jangan risau, saya tak beli kopiah ni. Saya pun tak mampu beli kopiah harga ni."

Bro: "Ha bagus. Dah, aku nak meniaga. Kau pergi mengemis tempat lain boleh? Aku dah kenal ramai la yang keluar penjara macam kau ni. Suka dapatkan simpati."

Pemuda menundukkan kepala, cuba berlalu dari situ. Tapi ditahan oleh seorang pakcik.

Pakcik: "Nanti, biar pakcik belikan."

Pakcik segera menghulurkan note RM30 kepada penjual kopiah.

Pakcik: "Biarlah dia nak pakai kopiah. Kopiah tu kan dari pakaian orang Islam juga. Kemas sikit, tak adalah nampak serabai sangat rambutnya."

Bro : "Pakcik tak payahlah kesian sangat dekat budak ni."
Pakcik: "Sama ada dia hipokrit atau tidak, baik atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Tugas kita adalah menegur dia jika dia salah, tunjuk dan bimbing dia jika dia hilang arah.

Biarlah dia pakai kopiah, sekurang-kurangnya bila dia nak buat maksiat, dia ingat kopiah di kepalanya. Mula-mula rasa malu pada kopiah. Dari malu kepada kopiah, timbul malu kepada Tuhan. Dengan memakai kopiah, mungkin dia akan malu memandang aurat gadis-gadis di sekelilingnya lalu menundukkan pandangan."

Bro: "Dah tu, yang dalam facebook tu apa cerita plak?"

Pakcik: "Terpulang pada niat masing-masing;

1. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka dapatlah pahala.

2. Jika niatnya nak memancing wanita, maka mungkin dapatlah apa yang dihajati tapi tidak mungkin dapat Allah kerana tidak ikhlas.

3. Jika niatnya supaya orang lebih tertarik kepada Islam dengan imej sopan yang ditunjukkan, alhamdulillah.. bagus.

4. Kadang-kadang orang lebih mudah berikan kepercayaan pada yang berimej baik dan sopan dari yang berimej sebaliknya. Lebih dipercayai berbanding mereka yang membawa imej misalnya terlampau rock, yang akhirnya menyebabkan mereka kurang diberikan kepercayaan.

5. Orang yang berpura-pura dengan berimej Islamik dan bertopengkan agama di facebook, ilmu bermanfaat yang disebarkan dapatlah pahala untuk part tu. Tapi dari segi keikhlasan, dia ada masalah dengan Allah. Dia kena muhasabah balik, betulkan niat. Tak guna disukai orang, tapi dibenci oleh Allah."


Bro mengangguk-angguk malas seraya beralih ke customer yang lain. Malas nak layan celoteh pakcik.

Tiba-tiba pemuda tersebut memeluk pakcik tersebut dengan deraian air mata.

Pemuda: "Selama 10 tahun saya berada di penjara, 5 tahun saya enggan solat. Namun apabila pertama kali saya cuba solat di dalam penjara dengan memakai kopiah penjara, saya rasa tenang sangat-sangat. Saya akhirnya bersolat. Bila melihat wajah saya dalam cermin dengan berkopiah, rasa macam tak percaya. Nampak tenang dan tak serabut seperti selalu. Sejak dari hari tu, saya berazam hari pertama saya keluar penjara saya nak beli kopiah saya sendiri.. saya nak berhijrah."

Pakcik: "Alhamdulillah.. namun ingatlah, penghijrahan bukan sahaja bermula dengan imej Islamik, tetapi lebih penting lagi di sini." (sambil menunjuk ke arah dada pemuda tersebut)

Usai bersalaman, pakcik meminta diri dari pemuda tersebut dan berlalu pergi. Sekilas, pemuda teringat dia belum lagi mengucapkan terima kasih. Ditolehnya ke belakang, namun pakcik tersebut dah tiada. Hilang sekelip mata.

Pemuda tercari-cari, berlari-lari ke segenap arah. Namun tidak dijumpai kelibat pakcik. Hampa. Mengeluh seketika.

Namun dalam hatinya kini ada dua penghargaan;

"Terima kasih, pakcik."

"Terima kasih Tuhan."

17 Oktober 2013

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…



Andai dia pergi dulu sebelum mu, sapulah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.  Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

P/s: Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya.

22 Jun 2013

SELINCAH KIJANG...




Seekor kijang mengandung bakal melahirkan anak kijang. Ibu kijang tiba di sebuah tanah rumput tepi sungai di selatan memikir bahawa itu satu kawasan selamat. 

Perutnya mula sakit… tetiba langit mula mendung diikuti dengan petir. Petir menyambar rumput kering di sebelah utara kijang – kebakaran hutan berlaku. Di tepi baratnya, ibu kijang terkejut melihat seorang pemburu sedang mengacukan senapangnya ke arahnya. Ibu kijang bergerak ke sebelah timur, terlihat pula seekor harimau yang kelaparan sedang bergerak ke arah beliau. 

Utara – api membara 
Timur – si harimau kelaparan sedang ingin menerpa 
Barat – si pemburu dengan senapang 
Selatan – sungai yang deras… 
Langit – mendung berpetir bakal hujan 

Apakah yang bakal ibu kajang lakukan tatkala perutnya dah mula sakit untuk kelahiran…? 

Bolehkah ibu kijang dan anaknya selamat? 
Apakah kedua-duanya bakal mati? 
Sempatkah anak kijang dilahirkan? 
Apakah kedua-duanya akan mati dibakar? 
Ibu kijang mati di tangan siapa? Pemburu atau harimau? 
Apakah ibu kijang sanggup lompat sungai dan lemas? 

……………………. 
……………………. 
……………………. 
……………………. 

Ibu kijang tidak melakukan apa-apa. Ibu kijang hanya fokus pada tugas memberikan nyawa baru kepada anaknya.

Semua perkara yang difikirkan di minda anda tidak terjadi. 

Dalam sekelip mata… Petir menyambar dan membutakan mata pemburu tatkala beliau menekan senapang beliau. Senapang itu tersasar melepasi ibu kijang… dan terkena pada si harimau yang luka parah. Hujan mula turun, api hutan dipadamkan. Saat kemudiannya, anak kijang lahir di dunia. 

Cerita ini adalah untuk kita melihat bagaimana minda boleh memerangkap seseorang dari segala penjuru secara negatif. Tanggapan minda begitu kuat sehingga menyakinkan kita bahawa kijang akan mati dan kita pula mati akal. 

Jangan buat keputusan dengan terburu-buru. Fikirkan kita sebagai ibu kijang, yang dipenuhi pelbagai cabaran, tapi tetap mencapai kegembiraan di akhirnya. 

Segalanya boleh berlaku dalam hidup ini sekiranya iman kita kekal utuh kepada Allah dan percaya bahawa Allah akan menjaga kita. Dan fokus pada tugas di tangan (melahirkan anak kijang) dan buat dengan sebaiknya, Allah akan bantu mereka yang berusaha dan tidak berputus asa. Insha-Allah. 

Senyum Smile 

Creadit by: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

08 Jun 2013

APAKAH NIAT MENEGUR ENGKAU...?




Wahai anakku,
Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat menegur engkau. Jika niatnya adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat menegur tersebut. Jika niat mu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju dengan kamu, batallah niat menegur itu. Jika niat mu adalah untuk memalukan orang, lagilah perlu dibatalkan niat kamu. Jikalau niat mu adalah untuk menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan niat mu. Jikalau niat mu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah juga niat mu. Jikalau niat mu untuk lawan untuk menunjukkan kebodohan, batalkan niat mu. Jikalau engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran yang engkau niatkan itu, tangguhkan dulu teguran kamu.

Wahai anakku,
Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah teguran yang bersifat membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan menginsafkan. Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas mendapat kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruah mu.

Wahai anakku,
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah pada isu yang ada di tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara yang lepas-lepas kerana ia akan merosakkan teguran yang diniatkan baik oleh engkau.

Wahai anakku,
Semasa membuat teguran, ingatlah manusia ini tidaklah sempurna walaupun sempurna ciptaan Allah. Ingatlah manusia depan mu itu pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang baik. Buatlah teguran tanpa buruk sangka pada manusia di depanmu. Buangkan segala buruk sangka pada manusia di depanmu. Tunjukkan belas kasihan mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah egomu. Dan jagalah kata-kata mu dan ayat-ayat mu.

Wahai anakku,
Jangan pula engkau ingat hanya kau yang layak menegur orang dan orang yang ditegur mu itu mesti akur dan terima teguran mu. Jangan engkau ingat mereka akan membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab. Jangan engkau ingat engkau sahaja betul dalam teguran mu. Bersedialah berlawan dengan hujah. Jika engkau kasar dalam bahasa teguran mu, bersediakah menerima balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk.

Wahai anakku,
Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah. Engkau memahami perkara itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu kamu sering terlupa yang menerima teguran mu itu juga seorang manusia ciptaan Allah. Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih tinggi ketika menegur. Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab ketika ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun palsu. Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika ditegur kerana engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu. Pentingkan membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika ditegur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri.

Senyum

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

07 April 2013

"KAU MEMANG CELIK MATA, TAPI KELABU HATI."


"What was I told you last time?"
"Why won't you hear?"
"I thought I've warned you."
"I'm not saying this because of jealousy or being ridiculous or what so ever... but because..."

Hari ini 27 Januari 2013;
Najihah tunduk memandang lantai tanah yang tidak lagi ditutupi salji tebal. Dia baru sahaja melepasi lorong itu.
Terdengar-dengar suara dua orang yang bertengkar dari dalam sebuah rumah. Langsung, dia teringat pada sesuatu.
Langkahnya kini sudah jauh meninggalkan kenangan hampir tujuh tahun yang berlalu.
Waktu itu, atmosfera dingin langsung tidak terasa. Angin dingin dari Rusia yang datang seolah-olah melukakan sebuah persahabatan. Sahabat sejati itu terputus hubungan hanya kerana sebuah teguran. Kini, baru hatinya melihat.
"Kau memang celik mata, tapi kelabu hati." Tegur Widya.
Ketawa kecil lagi, entah apalah yang dia fikirkan. Tangannya ligat membuka sarung aiskrim 'cornetto.'
"Kelabu hati tak apa lagi asal jangan buta hati." Balas Najihah laju. Tersinggung agaknya dengan Widya. Tetapi tidak meminggirkan tangannya untuk menyambut aiskrim huluran Widya.
"Aduhai Naj, kelabu hati itu lebih bahaya. Bila-bila boleh menghitam. Bila hati hitam, butanya tak pakai 'standard.' Gelap terus. Nah, jadinya mana yang lebih sulit? Mencuci cermin yang kelabu atau cermin yang hitam berkarat?" Bidik Widya. Najihah bisu seketika.
"Yang sebetul-betulnya apa Widya? Kau buat aku nampak salah tapi aku sikit pun tak tahu apa yang kau nak cakap sebenarnya."
Akhirnya Najihah bersuara. Bingung dengan suku kata yang melintas sekejap-sekejap di kepala. Widya memang selalu begitu. Menegur tak pernahnya jelas.
"Tak ada salahnya Naj, kalau kau juga mula menyukai seseorang. Tapi janganlah riak perasaan itu sampai menutup hati kau untuk mengenal diri dia yang sebenar-sebenarnya. Baik kau, aku dan kawan-kawan kita yang lain, semuanya tahu bagaimana diri dia yang sebenarnya. Aku tak kata dia tak baik, dan aku tak kata yang kau salah. Tapi kalau dah sampai membilang-bilang soal ibadah, soal yang benar apa lagi yang salah, mana mungkin aku diamkan saja." Tutur Widya panjang lebar. Beremosi bunyinya.
Najihah jadi lebih diam daripada tadi. Hati dan kepala dah mula rasa tak sekata.
"Maksudnya apa ni Widya? Aku tak faham langsung apa yang kau kata." Najihah bingung. Kata-kata Widya seolah-olah menumbuk-numbuk dinding kepalanya.
"Lelaki yang kau suka itu, sudahkah kau ikhlas dengan diri kau? Sudahkah kau tanyakan diri kau? Atas sebab apa kau sukakan dia Naj? Sebab dia menayangkan yang dia ambil berat tentang kau? Dengan cara apa? Ayat-ayat manis atau kerana dia pernah mengirim ubat saat kau jatuh tak sihat lama dulu? Atau kau terlalu suka dengan wajahnya yang selalu dia maniskan untuk kau? Tapi di belakang kau, pernahkah kau dengar betapa ramainya sahabat-sahabat yang selalu terasa dengan bahasanya dan lagaknya yang tak bersopan? Selama kau mengenal dia, berapa berat nasihatnya pada kau yang menyuruh taatkan agama? Meski kau tak pernah keluar berdua, sudah berapa jauh interaksi kalian?" Jelas suara Widya.
Tidak berapa lama kemudian dia berhenti sejenak. Mengambil nafas barangkali. Najihah dah mula rasa tak selesa. Widya menyambung. Sepertinya, ini sahajalah peluangnya untuk membuka mulutnya kepada Najihah.
"Khayalnya kau itulah yang aku takutkan. Seolah-olah hanya dia sahaja lelaki yang ada hanya kerana dia ingin mengenal kau. Aku tahu Naj, setiap orang pasti inginkan cinta untuk dirinya. Tetapi adakah Dia redha dengan jalan yang kau pilih ini? Jika kau tak nampak lagi, nah aku dah pun sampaikan. Maaf Naj, mungkin kasar pada kau. Tapi jika sehari-hari teguran perlahan aku kau tak hiraukan, apa lagi pilihan yang aku ada? Dan percayalah Naj, kau bukanlah satu-satunya. Ya, mungkin satu-satunya untuk dijadikan sebagai teman hidup, kerana kau istimewa. Sedangkan yang lain, tak berbatas lagaknya dia."
Najihah tergamam. Widya dirasakan mengasaknya dengan tujahan melampau waktu itu. Suaranya langsung tertahan. Tak terbela jadinya dia. Disebabkan kebenaran-kebenaran itu lah, 'Friendship seems to has been lost into the thin air'.
Baik dia mahupun Widya, masing-masing idtak pernah menyebut sengketa. Tetapi berakhirnya langkah kaki di petang bersalji itu, masing-masing beku bak bongkah batu. Widya hanya membawa kaki melangkah. Pandangan dah ditala ke bermacam arah. Najihah pula gayanya semacam tak mahu mendongak lagi.
Apa yang dia ingat selepas hari ketiga kejadian, waktu dia ingin memanjangkan maaf, Widya sudah tiada lagi di biliknya. Entah bila sahabat itu pergi pun dia tidak sedar. Yang tinggal hanyalah sekeping kertas jingga yang dilekatkan di kepala katil temannya itu yang bertulis:
"Tak perlu kemaafan, kerana kita bukan sengketa. Aku tinggalkan kau dan seluruh kenangan kita bersama di sini. Aku harus pulang ke Acheh. Orang tuaku meninggal. Rumahku dan perusahaan tak lagi damai. Tak mungkin untuk aku terus sambung di sini. Salam sayang daripada aku; Widya."
Pada hari yang sama Najihah merasakan betapa kecilnya dunia tanpa Widya dan kata-katanya, dia ternampak pula lelaki itu beramai-ramai dengan sahabat sekuliahnya. Entah apa kejadiannya, kelihatan seorang perempuan yang entah dari mana datangnya menepuk lelaki itu tanpa silu segan.
Kejutannya bukan itu, tetapi bila melihat dia yang kembali mengejar perempuan itu sambil menarik tapak tangan perempuan itu dan mencubit tangannya. Hah... saat itu, pucat dirasakan seluruh wajahnya. "Biar benar dia?"
Najihah hilang kata berminggu lamanya. Puas merenung dan membising pada diri. Marahnya pada diri lebih kepada rasa kesalnya kerana menyia-nyiakan seorang sahabat hanya kerana suatu teguran.
"Mengapa boleh jadi begini? Walhal, aku sendiri yang mengiyakan perubahan diri." Getusnya dalam hati.
"Agaknya ini balasan untuk orang sombong macam aku. Baru dua semester mengikut usrah, baru dua semester menelan pengertian, aku sombong dengan ilmu. Seolah-olah dah mula rasa yang diri sudah baik. Yakin sangat dapat bezakan yang baik dengan yang salah konon. Sampaikan ujian datang di depan mata aku langsung tak perasan." Bebelnya lagi dalam hati.
Itu kisah tujuh tahun lalu...
Kini, dia seorang jurutera di sebuah menara terbilang, dan kunjungannya ke Birmingham pada tarikh yang sama dia mengunci suara bersama Widya dahulu adalah disebabkan oleh 'site visit' yang terletak tidak jauh dari lorong yang dilalui mereka dahulu.
Jauh di sudut hatinya dia terlalu rindu pada Widya. Dia mahu Widya tahu yang nasihatnya dulu langsung tak memecahkan hubungan. Bahkan, semakin deras dia mengirim doa buat sahabatnya itu.
Dia juga tidak mahu lagi hilang tempat berpijak hanya kerana meninggikan ilmu saban waktu. Paling penting, ada sesuatu lagi yang Widya tinggalkan buat dirinya. Kertas berlipat bintang yang tak pernah dia tahu tertulis sesuatu di bahagian belakangnya.
"Cintai Tuhanmu dahulu dan akrablah bersamanya dengan jalan-jalan yang ada. Bila kau menjaganya, Dia akan menjaga kau nanti. Mudah-mudahan akan Dia titipkan seorang yang lebih bagus untuk menjaga kau suatu hari nanti."

25 Mac 2013

APA YANG ENGKAU HENDAK PERJUANGKAN...?

 Engkau ingin berjuang. Tapi termakan tidur dan hiburan melalaikan. Tarbiyahmu hanya sandaran di masa lapang. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Madah agama banyak kau huraikan, Kalamullah jarang benar kau berdampingan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Semangatmu dilaung lantang, amalmu terbiar kontang. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Tapi kau inginkan pujian, bila dikritik hatimu sakit tidak tenteram. Bagaimana harus kau mjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Pada masyarakat aktif kau menyumbang, keluargamu dibiar tidak diutamakan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. 'Ukhwah Fillah' mu hanya pada teman2 pilihan, mereka yang bukan dikalanganmu kau biar-biarkan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. bermanis muka engkau jarang, hanya ceria pada mad'u pilihan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Tapi ingin menjadi pemimpin, dipimpin pula agak kau segan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Tolak ansur tidak kau amalkan, pendapatmu dilaung lantang disanggah jangan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Kesihatan dan kerehatan tidak sanggup kau korbankan, hanya mahu bergerak senang. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Kata-kata kemas diucapkan, tiada diamal, lintang pukang. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Amal diri tidak ditingkatkan, tarbiyahmu sama tiada perubahan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Engkau ingin berjuang. Tetapi mengharap jua selain imbalan Tuhan, tajdid niat engkau lupakan. Bagaimana harus kau menjadi pejuang?

Ya, sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan... 
P/s: refleksi diri

26 Februari 2013

PERNAHKAH...?

Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.
Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.
Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.


Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian. 

Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? 
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
Jawabnya senang.

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan. 

Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.

14 Februari 2013

"AKU MAHU BAKAL IMAMKU SEPERTI INI..."

Lihat orang baik & bijak, terdetik di dalam hati "aku mahu bakal Imamku seperti ini".

Lihat orang hebat & berjaya, terdetik di dalam hati "aku mahu bakal Imamku seperti ini".

Lihat orang kaya & pemurah, terdetik di dalam hati "aku mahu bakal Imamku seperti ini".

Jaaap, no no no. Tak payah senyum kerana ini bukan monolog hati saya. Ini contoh yang saya mahu ketengahkan. Monolog seperti ini memang wujud, kan². Sentiasa mahu orang lain yang jadi, tapi diri sendiri di mana?
 
  
Ok, sekarang UBAH monolog hati itu seperti ini;
 
Lihat orang baik, bijak, hebat, berjaya, kaya & pemurah, terdetik di dalam hati "Aku mahu diriku seperti ini".

Ya, AKU YANG HARUS SEPERTI ITU. Ini bukan sekadar monolog hati yang bagus bahkan ia menjadi motivasi diri yang berkuasa tinggi tahap gaban ツ. 

Sahabat, "bakal Imam" itu hanya bersifat waham (kesamaran). Entah wujud entah tidak untuk diri kita di dunia ini. Manakala "diri kita" pula bersifat hakiki, benar² wujud maksud saya. So, pandanglah terlebih dahulu yang bersifat realiti & dekat dari terus mengharapkan pada yang berbentuk fantasi & jauh. 

Ingat! Jangan hanya mengharapkan yang baik² itu pada orang lain sahaja. Harapkan yang baik² itu pada diri kita terlebih dahulu. Insya Allah bila kita baik, maka kita akan dapat yang baik.

Sayangilah diri anda, kerana apabila anda faham sayang diri anda barulah anda akan tahu bagaimana mahu melaksanakan pesanan Baginda صلى الله عليه وسلم agar menyayangi saudara anda sebagaimana anda menyayangi diri anda sendiri. 

Peace no war ツ.

sumber:FB
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...