06 Januari 2013

AIB YANG TERTUTUP...

 
Anak Pak Ali, Hasan, 9 tahun di dalam kelas khusyuk mendengar kuliah ustaz Idris tetiba mendapati seluarnya basah dan ada air di bawah kerusinya.

Hasan terkejut kerana dia tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia tak pernah berlaku. Apa yang Hasan tahu ialah apabila rakan sekelasnya tahu… dia akan mendapat malu besar dan perkara ini bakal jadi ejekan yang memalukannya tak putus-putus.

Hasan menundukkan kepalanya dan terus berdoa memohon Allah memberi pertolongan untuk menyelamatkan diri daripada aib.

Pada masa yang sama, Ustaz Idris sedang bergerak ke arah Hasan yang sedang menundukan kepala.

Tetiba rakan Hasan yang duduk di sebelahnya, Anak Che Ali, Ibrahim dengan cepat menumpahkan bekas air dia di atas meja ke arah Hasan dan membasahi seluruh seluar dan bawah kerusi Hasan.

Hasan mengambil peluang untuk menunjukkan dia berang terhadap rakannya Ibrahim dengan memaki hamunnya di depan Ustaz Idris menyebabkan seluarnya basah untuk menutup aibnya.

Tapi dalam hati, Hasan gembira kerana ‘pertolongan’ sudah tiba.

Hasan mengambil kesempatan daripada hampir menjadi orang yang bakal mendapat aib di kelas kepada orang yang mendapat simpati.

Ustaz Idris membawa Hasan ke bilik sukan dan memberikan satu seluar untuk ditukarkan.

Rakan-rakan lain pula sibuk membersihkan lantai yang basah dengan air daripada bekas air Ibrahim dan najis Hasan.

Simpati yang didapati Hasan semakin banyak tapi sebaliknya Ibrahim pula dicemuh kerana menyebabkan kuliah terhenti dan rakan-rakan sekelas terpaksa membersihkan kelas kerana tidak sengaja menumpah bekas airnya.

“Cukuplah Ibrahim, enta ini menyusahkan sahaja,” kata Hasan, yang tidak mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim walaupun sedar tindakan tidak sengaja tadi telah menyelamatkan dia daripada keaiban.

Semasa sekolah tamat, Ustaz Idris memanggil Hasan ke biliknya.

“Hasan, besok ucap terima kasih kepada Ibrahim kerana menyelamatkan Hasan daripada aib tadi ya,” Ustaz Idris berpesan kepada Hasan.

“Mengapa? Dia menyebabkan seluar saya basah dan semua orang kena membersihkan kelas,” Hasan cuba pertahankan peristiwa aibnya.

“Hasan, awak ini kena bertaubat. Ibrahim tadi sengaja menumpahkan air pada Hasan untuk menutup aib Hasan kencing dalam seluar. Tadi, Ibrahim datang memohon maaf pada Ustaz kerana tindakan dia menyebabkan kuliah terhenti dan memberitahu dia terpaksa buat supaya Hasan tidak diaibkan. Hasan dahlah maki hamun pada dia, walhal dialah orang yang menyelamatkan Hasan,” kata Ustaz Idris.

Hasan tersentak dengan penjelasan Ustaz Idris dan keesokkan harinya memohon maaf kepada Ibrahim.

“Mengapa bantu ana semalam?” tanya Hasan.

“Ana pun pernah terkencing dalam seluar. Ana faham keadaan itu dan tidak mahu Hasan melaluinya,” jawab Ibrahim.

Kita semua akan melalui fasa-fasa kehidupan yang mencabar semasa di muka bumi ciptaan Allah swt ini. Kita harus sering mengingatkan diri mengenai perasaan kesusahan ketika waktu mencabar dan jangan menghina orang yang turut berada dalam situasi yang sama. Cuma memahami keadaan orang lain sebagaimana diri sendiri di dalam situasi tersebut, dan berdoalah kepada Allah untuk kita dapat menghulurkan bantuan sewaktu orang memerlukannya.

(Dipetik dari Fb Ustaz Tuan Ibrahim)

01 Januari 2013

"ITU ABANG SAYA..."


Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya

Tetapi, kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang
lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.

Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.

Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya "Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?" "Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......." Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Dipetik dari pengalaman seorang guru yang dedikasi.

Moral : Bersyukurlah dengan apa yang kita ada berbanding dengan orang yang tidak mempunyai apa-apa..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...