23 Disember 2010

AKU YANG BAKAL KAU KAHWINI...


Kepadamu yang akan menjadi pendampingku kelak...
Terima kasih kerana telah memilihku di antara ribuan bidadari di luar sana yang siap untuk kau pilih... Padahal kau begitu tahu, aku hanya wanita biasa,
Yang sangat jauh dari sempurna.
Kerananya ku ingin kau tahu,
Aku bukan wanita yang sempurna,
Aku begitu banyak kekurangan.
Maka ketahuilah...
 
Kepadamu yang akan memilihku kelak...
Aku tak sebijak bunda khadijah,
Kerananya ku ingin kau tahu,
Aku boleh saja berbuat salah dan begitu menyebalkan.
Maka ku mohon padamu, bijaklah dalam menghadapiku,
Jangan marah padaku,
Nasihati aku dengan hikmah,
Kerana bagiku kaulah pemimpinku,
Tak akan berani ku membangkang padamu...
 
Duhai kau yang telah memilihku kelak...
Ingatlah, tak selamanya aku dapat nampak cantik di matamu,
Ada kalanya aku akan begitu kusam dan jelek.
Mungkin kerana aku begitu sibuk di dapur,
Menyiapkan makan untuk kau dan mujahid dan mujahidah kita nanti,
–Insya’Allah-.
Maka aku akan tampak kotor dan berbau asap.
Atau kerana seharian ku harus membenahi istana kecil kita,
agar kau dan mujahid dan mujahidah kita dapat tinggal dengan nyaman dan sihat.
Maka mungkin aku tak sempat berdandan untuk menyambutmu sepulang bekerja...
Maka tegurlah aku, dan khabarkan padaku dengan lemah lembut dan bijaksana...
Ataukah kau akan menemukanku tersengguk-sengguk saat mendengar keluhan dan ceritamu,
bukan kerana aku tak suka menjadi tempatmu menumpahkan segala rasa,
Tapi kerana semalam saat kau tertidur dengan nyenyak,
Aku tak sedetikpun tertidur kerana harus menjaga mujahid dn mujahidah kecil kita yang sedang sakit,
Dan ku tau kau letih mencari rezeki untuk kami,
Maka tak ingin ku mengusik sedikit pun lelapmu...
Jadi jika esok pagi kau mendapatiku begitu letih dan ada lingkaran hitam di mataku,
Maka tetaplah tersenyum padaku,
Kerana kau adalah kekuatanku...
 
Padamu yang menjadi nahkoda dalam hidupku kelak...
Ketahuilah, mungkin ada saatnya, aku tak sesabar Fatimah,
Ada kalanya kau akan menemukanku begitu marah,
Menangis dan tak terkawal,
Bukan kerana ku membangkang padamu,
Tapi aku hanya wanita biasa,
Aku juga memerlukan tempat untuk menumpahkan beban di hatiku,
Tempat untuk melepaskan penatku,
Dan mungkin saat itu aku tak menemukanmu,
Atau kau begitu sibuk dengan pekerjaanmu,
Maka bersabarlah,
Yang aku perlukan hanya pelukan dan belaianmu...
Kerana bagiku kau adalah titisan embun yang mampu memadamkan segala resahku...
Ataukah ada kalanya tanganku akan mencubit dan
memukul perlahan si kecil kerana lelah dan penatku di tambah rengekannya yang tak habis-habisnya.
Sungguh bukan kerana ku ingin menyakitinya,
Tapi kadang aku kehabisan cara untuk menenangkan hatinya.
Maka jangan membentakku kerana telah menyakiti buah hati kita,
Tapi cukup kau usap kepalaku, dan bisikkan kata sayang di telingaku,
Tegurlah aku dengan hikmah,
Kerana dengan itu ku tau kau selalu menghargai semua yang ku lakukan untuk kalian,
Dan kau akan menemukanku menangis menyesali perlakuanku pada malaikat kita,
Dan aku akan merasakan ribuan kali rasa sakit dari cubitan yang ku berikan padanya,
Dan aku akan berjanji tak akan mengulanginya lagi...
 
Padamu yang menjadi imam dalam hidupku kelak...
Ketahuilah, aku tak secerdas aisyah...
Maka jangan pernah bosan mengajariku,
Membimbingku ke arah-Nya,
Walau terkadang aku begitu bebal dan bodoh,
Tapi jangan pernah letih mengajariku...
Jangan segan membangunkanku di sepertiga malam untuk
Bersamamu bermunajat pada Kekasih yang Maha Kasih...
Jangan letih mengingatkanku untuk terus bersamamu mendulang pahala dalam amalan-amalan sunnah...
Bimbing tanganku ke Jannah-Nya,
Agar kau dan aku tetap bersatu di dalamnya.

Padamu yang menjadi kekasih hati dan teman dalam hidupku...
Seiring berjalannya waktu,
Kau akan menemukan rambutku yang dulu hitam legam dan indah,
Akan menipis dan memutih.
Kulitku yang bersih akan mulai kerepot.
Tanganku yang halus akan menjadi kasar...
Dan kau tak akan menemukanku sebagai wanita cantik,
Yang kau khitbah puluhan tahun yang lalu...
Bukan wanita muda yang selalu menyenangkan matamu...
Maka jangan pernah berpaling dariku...
Kerana satu yang tak pernah berubah,
Bahkan sejak dulu akan terus bertambah dan kian membuncah,
Iaitu rasa cintaku padamu...
Ketahuilah...
Tiap harinya, tiap jam, minit dan detiknya,
Telah aku lewati dengan selalu jatuh cinta padamu...
Maka, cintailah aku,
Dengan apa adanya aku...
Jangan berharap aku menjadi wanita sempurna...
Maafkan aku kerana aku bukan puteri...
Aku hanya wanita biasa....
Terimalah aku apa adanya dan bimbinglah aku menuju jalan-NYA...
Semoga kita boleh sama-sama bahagia...
 

22 Disember 2010

PEMANDU DAN BOSS...

Seorang pemandu yang berbosskan orang putih dari Amerika sedang membawa bossnye... Tiba-tiba kereta di hadapannya berhenti mengejut menyebabkan dia telah menyodok kereta tersebut. Pemandu tersebut pun meminta maaf dari bossnya...

Pemandu: Sorry Sir, I brake brake, do not eat. After I check the wheel no flower again. (Maaf Tuan, saya brek-brek, tak makan, selepas saya cek tayarnya tak ada bunganya lagi)

Orang putih itu pun mahu keluar dan ikut sama marahkan pemandu kereta di hadapan, tapi pemandu tersebut menghalangnya... Kata pemandu tersebut:

Pemandu: Don't enter mix, Sir! The bring that car if not wrong I, is the children fruit from manager moneys, he stupid doesn't play! Let he taste. (Jangan masuk campur, Tuan! Yang bawa kereta itu kalau tak salah saya, anak buah dari pengurus kewangan, dia memang *** bukan main... Biar dia rasa)
 
Besoknya si pemandu tak masuk kerja. Lusa, bila dia masuk kerja, si boss orang putihnya bertanya:

Boss : Why didn't you come to work?

Pemandu : I am sorry boss, my body is not delicious, my body taste like enter the wind. (Maaf boss, badan saya tidak sedap, badan saya rasanya macam masuk angin)

BERTUDUNG HIPOKRIT...

SOALAN
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.
Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...
- Diera -

JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1)     Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit  serta tidak mahu berubah kerana disuruh.
Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-
Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.
Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK.  Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!
Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan  yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.  
Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum
Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.
Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.
Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.
Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama,  saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai  syaitan iaitu seksi.
Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.
Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4)            BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.
Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009

13 Disember 2010

JIRAN NABI MUSA...


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?" Kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi." Tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat,inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

08 Disember 2010

AKU, BUKU DAN CINTA...

Assalamualaikum...
Alhamdulillah, hari ini tanggal 2 Muharram. Moga2 penghijrahan kita pada tahun baru ini adalah lebih baik dari semalam. AMIN. Insya-Allah.

Ibn 'Aqil menceritakan tentang dirinya: "Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak. Aku rela tidak makan roti dan hanya makan manisan dengan secawan air, kerana jika aku makan roti, maka banyaklah masaku yang terbuang."

Tiada kata yang ingin dilontarkan. Cuma sedikit perkongsian tentang hidup seharian. Cuti panjang semester ini sarat dengan timbunan pengetahuan. Baru2 ini saya ada membuat tempahan online membeli beberapa buah buku. Teramat menggilai buku, ya, itulah saya. 'Jangan pisahkan, aku dan dia...' Boleh dikatakan begitu seandainya tiada buku dalam perjalanan seharian. Alhamdulillah, buku2 tersebut selamat sampai pada hari ini.

Masa awal2 kemasukan ke Institut dahulu, pensyarah pernah bertanyakan hobi masing2.
"Apa hobi kamu?"
"Membaca, puan."

Saya sekadar tersenyum dan mengangguk menerima pujian. Patut dicontohi. Alahai... Namun, segelintir teman yang tidak mengetahui itu sememangnya hobi saya (memandangkan masih awal perkenalan, mungkin), mengatakan kerja saya cumalah menghadap labtop, berchatting. Ya, memangpun, itu cumalah awal keghairahan remaja saya. Sekejap cuma. Entahlah. Lumrah barangkali, jumpa sesuatu yang baru, hal lama dilupakan, ditinggalkan. Alhamdulillah, alpa itu sementara cuma. Sekarang, sekadar berpada.

Teringat zaman persekolahan dahulu, kebanyakan duit poket, selalunya ditabungkan. Sengaja ingin membeli buku tambahan untuk bacaan sampingan selain daripada buku2 matapelajaran. Beratus dibelanjakan hanya untuk memiliki buku yang sentiasa tidak kehabisan. Teruk. Mujurlah kedua ibu bapa memahami. Ke mana sahaja tempat yang mengadakan pesta buku, tidak akan dilepaskan. Yang menjadi mangsa adalah Abah saya. Hanya dia yang akan membawa saya ke tempat2 sebegitu. 

Nampaknya hobi tersebut masih ada dan berterusan menjadi minat berpanjangan. Sesekali ada juga rasa malas, langsung tidak bersentuh buku2 yang dibeli. Alhamdulillah, rasa itu seketika cuma.

Pesan-Nya, "IQRA... Bacalah."
"Membaca itu sesungguhnya satu perintah, satu ibadat. Maka, bacalah kerana dengan itu akan terbuka pintu ketenangan dan kejayaan. Pesanku, bacalah dengan hati yang merendah diri kerana aliran ilmu itu umpama air yang mengalir, hanya bertakung di tempat yang rendah. Tadahlah ilmu dengan hati yang tawaduk kerana merasai diri tidak berilmu adalah rasa setiap yang berilmu." Dipetik dari kata seorang penulis dan pendakwah, Pahrol Mohd Juoi.

Koleksi awal buku semasa zaman persekolahan.

Sebahagian hidupku. Selamanya^^...

 Komik2, sesekali menarik hati menambah ceria^^...

Timbunan ilmu yang baru sahaja tiba di rumah. Alhamdulillah^^...

Dan ini CINTA PERTAMAku^^...

 
Baiti Jannati
Dihimpit cinta;)

03 Disember 2010

BIARKAN AKU BERPURA...

Usah senang sangat untuk kebahagiaan ini. Cukuplah berpada. Aku tak tahu sampai bila. Mungkin untuk esok atau lusa cuma.
Dan mungkin bila tiba saat dan ketikanya, bahagia itu sendiri yang pergi.

Tapi yang aku perlu adalah untuk tidak melepaskan detik ini, tidak mensesiakan saat ini. Bersyukurlah, walau  untuk seketika cuma bahagia itu.
Dan redha juga walau untuk selamanya air mata itu.

Sesungguhnya, itu bukannya kelemahan. Bukan juga kekalahan, tapi itu kesedaran dan kehidupan yang sempurna. Indah sebenarnya hidup ini jika diri sentiasa dihiasi dengan tarbiah Ilahi. Jadikan aku kuat untuk menghadapi, sesekali gentar ada juga mewarnai. Dikuatkan hati, memohon pada Rabbul Izati.

Maaf kerna menyakiti, khilaf diri juga~

Senyum, marah. Terkadang dua emosi ini silih berganti. Akukah begini? Haha...

Lupakan saja diri, pendamkan, lupuskan dari ingatan segala benda yang hanya pinjaman. Namun jangan pula engkau mengabaikan segala tanggungan. Itu sudah namanya lepas tangan. 

Yang wajib tetap wajib, tidak akan sesekali menjadi harus. Dan yang benar tetap benar tidak akan menjadi dusta. Engkau sendiri tahu bukan diri? Justeru, mengapa harus menyakiti?

Sedih. Luahkan saja. Segan. Malu. Haha... 
Usah berpura dengan perasaan. Jangan menjadi si hipokrit sejati diri. Menyatakan dirimu kuat, membuat insan lain kagum padamu?

Tidak, aku tidak langsung berniat. Cuma...
Itulah diri aku. Ya, itu aku. Sebagaimananya aku. Bahagia untuk dikongsi. Dan tangis itu untuk sendiri. Haha...

Jadi, lihatlah aku tersenyum selalu. 
Dan aku diam bila aku geram.
Dan mungkin juga aku berpaling bila aku tak mampu untuk menyatakan.

Aku gembira dan suka. Aku juga geram dan marah. Malah aku turut sedih dan menangis.
Aku bukan hati kering seperti yang dimaksudkan aku sendiri.
Aku juga bukan hati batu yang langsung tidak mengerti.
Cuma,
Aku tidak suka melihat air mata, sakit!!!

Lalu aku ingin meminta, biarkan aku terus berpura dengan tawa ini=)
 
Cebisan hati...

01 Disember 2010

HURUF PERTAMA DIRIMU...


A
Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan selain bijaksana dan cerdas. Kelemahannya, sangat mudah berasa hati, dan mudah mengeluarkan kata-kata pedas ketika meluahkan perasaan marah. Meskipun begitu marahnya mudah reda.

B
Selalu tenang dalam menghadapi masalah yang rumit dan membahayakan dirinya adalah ciri penampilannya. Mereka juga sangat setia dan penyabar, yang menjadikannya amat disenangi dalam pergaulan. Kelemahannya, sangat mudah tersinggung.

C
Ramah dan pandai berbicara. Ini yang menjadikannya popular di kalangan rakan-rakan. Mereka tidak bersungguh dalam bertindak dan selalu menganggap masalah yang dihadapi adalah remeh.

D
Pendiam, bercakap hanya bila perlu. Sopan, berdisiplin dan kuat bekerja. Kelebihannya itulah yang menghasilkan kejayaan dalam mencapai cita-cita. Kelemahannya adalah selalu bimbang dan sukar mempercayai orang lain.

 E
Pandai dan penuh pertimbangan dalam menjalankan tanggung jawab. Sikapnya periang bila hatinya senang, tetapi suka berdiam diri apabila hatinya gundah dan boleh membuatkan hati orang lain terluka.

F
Punya pendirian yang teguh, tidak mudah goyah dan keras kepala. Mereka juga sukar memaafkan. Tidak setia dan amat berhati-hati bila berbelanja.

G
Kerap murung dan bersedih hati. Pendiriannya mudah dipengaruhi. Tekun belajar ketika rakannya bermalas-malasan dan sebaliknya suka bermalas-malasan ketika rakannya sedang tekun.

H
Mudah simpati, bahasanya lemah-lembut. Tidak pernah melukai perasaan orang lain. Selalu tergesa-gesa dalam melakukan pekerjaan, suka berkhayal dan bercita-cita terlalu tinggi.

I
Suka memendam perasaan dan permasalahan. Mereka juga mudah merasa curiga dan cemburu terhadap orang lain. Suka menangis.

J
Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan. Mudah merasa ragu dalam membuat keputusan dan tidak tegas.

K
Pandai berjenaka. Hari-harinya sentiasa ceria walaupun perasaannya gundah. Kelemahannya suka bercerita rahsia sendiri.

L
Ramah dan pandai bergaul dan mempunyai ramai kawan. Tidak suka bergosip dan mencampuri urusan orang lain. Amat berhati-hati bila berbelanja. Kelemahannya, tidak menepati masa.

M
Pandai dan kreatif, suka kelembutan dan jika dikongkong, mereka akan berontak. Senang dijadikan sahabat, kerana mereka tidak berkira. Kelemahannya, boros dan keras kepala.

N
Baik hati dan rapi dalam berpakaian.. Mereka suka menghulurkan tangan menolong orang lain tanpa memikirkan balasan. Kelemahannya, mudah bersedih hati dan kurang percaya diri.

O
Serba boleh. Suka memendam perasaan dan permasalahan serta sukar mempercayai orang lain. Akibatnya ramai yang menggapnya sombong dan suka memilih teman.

P
Pandai berjenaka dan selalu ceria. Punya banyak idea dan sangat kreatif. Sering melakukan sesuatu yang belum dilakukan orang lain.. Agak pendendam dan boros.

Q
Setia dan mudah memaafkan orang lain. Suka meluangkan waktunya untuk kawan-kawan. Keras kepala, sukar diatur dan mudah emosi.

R
Pendiam dan bercakap hanya bila perlu. Tekun dengan kerja yang disukai dan bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita. Suka mengkritik. Dan sukar mengawal bicara ketika marah.

S
Pandai dan tekun dalam mengejar cita-cita. Tidak suka pada orang yang suka memungkiri janji. Kelemahannya mudah tersinggung selain sukar menahan emosi. Jika sudah emosi marahnya meledak-ledak.

T
Sangat berdisiplin. Selalu mengerjakan sesuatu menurut aturan buku. Tidak suka mengelamun atau bermalas-malasan. Suka menonjolkan diri selain senang gugup, terutama bila bersalah.

U
Suka berterus-terang dan menyendiri. Naif baginya merugikan orang lain. Tidak tahan dengan kritikan dan kurang pandai menyusun kata-kata jika berbicara didepan orang ramai.

V
Tutur katanya lembut dan pemalu. Pandai menyesuaikan diri. Selain itu, mereka juga pandai menguasai orang disekitarnya dengan cerita-cerita yang memikat. Tidak suka berterus terang.

W
Ramah dan mudah simpati. Sikapnya amat menawan. Punya toleransi yang tinggi dan ringan tangan. Keras kepala dan sukar diatur, tetapi hatinya boleh dilembutkan dengan kesabaran dan kelembutan.
  
X
Budi pekertinya halus. Suka melakukan pekerjaan sosial. Mudah tersinggung dan tidak akan berbaik dengan mereka yang menyinggungnya.

Y
Pendiam dan tidak suka menonjolkan diri. Ramai menganggapnya sombong walaupun sebenarnya mereka adalah sahabat yang baik. Tidak berani mengemukakan pendapat.

Z
Pandai berjenaka dan menyesuaikan diri dalam pergaulan. Suka disapa terlebih dulu dan gemar menonjolkan diri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...