19 Mac 2011

AL-KISAH TENTANG JODOH

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. 


          Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
          "Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.
          "Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"
          "Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.
          "Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.
          "Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."
          Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
          "Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.
          "Habis mengapa putus?"
          "Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."
          Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

          "Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
          "Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
          "Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
          "Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
          "Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"
          "Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."
          Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."
          Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
          "Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."
          Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. 
          Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

          "Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.
          Dia ketawa tiba-tiba.
          "Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
          "Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
         "Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"
          "Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
          "Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.
          "Maksud abang?"
          Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
          "Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."
          Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."
          "Ya, betul tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."

Wasilah Memilih Jodoh

          "Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.
          "Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."
          "Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
          "Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"
          Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
          "Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
          "Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

         'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.
         "Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
        "Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."
          "Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
          "Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik."
          "Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."
          Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"
          Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
          "Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"
          Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
          "Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"
          "Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.
          "Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
          "Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
          "Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"
          "Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"
          Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

          "Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
          "Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
          "Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"
          Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
          "Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
          "Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"
          "Mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."
          "Hikmah untuk kita?"
          "Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."
          Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. 
          Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
          Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: 
          "Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"

17 Mac 2011

AKU DAN MANUSIA...

Manusia itu berkata;

"Lepaskan tudung labuhmu, lepaskan jubahmu"
"Marilah kembali jadi normal"


Apa aku ni tak normal ke???
Cuma bertudung labuh dan berjubah dikatanya ABNORMAL???
Pelik... Ini pertama kali aku dengar orang cakap macam tu...


Kata manusia itu lagi;

"Kamu ni dah sangat keterlaluan"
"Ustazah yang menggaji sunnah dan hadis malah Al Quran masih pakai tudung biasa"
"Mereka tak pakai jubah lagi, hanya baju kurung je"
"Tapi, lihat diri kamu..."
"Kamu tidak bergaya... Tidak up to date"
"Jangan salahkan lelaki kalau mereka cari yang lain!!!”


Astargfirullah... Aku mengucap panjang
Manusia ni sedar ke tidak sedar apa yang dia cakap ni…


Aku terdiam seketika...

 

"Kamu EXTREME!!!..."


Extreme? Apa memperbaiki diri menuju jalan Allah S.W.T itu extreme?

“Berubahlah... Kamu bukan diri kamu yang dulu”

Aku tetap aku... Cuma sekarang aku menjadi lebih baik dari yang dulu.

“Aku sudah tidak kenal kamu...”

 
Macam mana kamu nak kenal aku kalau selama ni kamu hanya menggunakan mata kasarmu.
Lihat aku dari mata hatimu... Aku berusaha menuju jalan kebenaran.

 
"Berubahlah... Aku mohon"

Maaf... Aku lakukan semua ini bukan untuk kamu
Bukan untuk ibuku
Bukan untuk ayahku
Bukan untuk manusia lain
Tapi untuk... ALLAH S.W.T
Islam agamaku... Aku mengakui bukan cuma dari hati...

 
"Apa kamu masih berdegil?"

Ini bukan kedegilan... Ini keikhlasanku demi agamaku,demi penciptaku...
Ini pendirianku... Tidak aku goyah hanya kerana kamu...


"Betul kamu tak nak berubah?"

Tanyalah aku walau sejuta kali pun
Kata hatiku tetap sama...
Pendirianku tetap begini
Tidak aku salahkan lelaki yang berubah hati hanya kerana pasangannya seperti aku...
Sesungguhnya aku sebagai wanita menyerahkan segala hiasan diri buat suamiku
Bukan sebagai bahan tontonan!!!

Sesungguhnya segala yang ku lakukan hanyalah untuk Allah yang Maha Satu
Dan moga Allah mengampunkan dosa-dosa aku yang terdahulu…

14 Mac 2011

BERJALAN DI JALAN DAKWAH...


Dia menangis tersedu dalam dakapanku. "Kalaupun saya salah, tak boleh ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang". Aku mengusap lembut belakangnya, cuba menenangkan."Saya rasa saya ni macam jahat sangat, saya tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap saya".

"Saya rasa macam semua orang tak suka saya, cakap buruk tentang saya saya kat belakang", tangisnya makin menjadi-jadi, tak pernah aku lihat dia menangis sebegitu kerana dia biasanya hanya suka berdiam dan memendam, susah meluahkan perasaan.

"Mereka kata macam-macam, saya ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi perangai tak macam orang tudung labuh. Salah ke saya menegur kalau saya nampak mereka buat perkara tak betul? Memang saya akui saya agak tegas dan berterus terang, tapi saya bukan nak malukan mereka. Saya tahu saya tak sempurna, saya bukan budak sekolah agama, banyak lagi ilmu saya tak tahu. Mereka kata masa saya tak pakai tudung labuh dulu, saya tak macam ni", rintihnya lagi.

Aku biarkan saja dia terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Aku leraikan pelukannya, namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia diberi kekuatan.

"Awak menyesal pakai tudung labuh?", aku meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya air jernih yang turun melaju dari tubir matanya. Aku dapat mengagak jawapan disebalik kebisuannya. "Awak berputus asa nak menegur mereka lagi?", saya terus menduga. "Buat apa nak tegur lagi, kalau tegur pun akhirnya saya yang kena kutuk", perlahan dia menjawab dalam sedu sedannya.

"Awak, Allah nak uji awak hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai, inilah harga yang kita terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh senang? Tak mudah seperti yang mereka nampak. Bila dah bertekad untuk pakai tudung labuh, kita kena siapkan juga fizikal, mental dan hati kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran. Dan inilah antara ujiannya. Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat silap, terus dikaitkan dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di mana-mana. Pada mereka, kita kena jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat silap sikit pun. Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak sangat kelemahan", saya bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang sugul.

"Jangan pernah menyesal dengan diri awak, tudung awak. Jangan kerana masalah sekecil ini, awak dah mengalah. Ujian ni banyak sangat hikmahnya untuk awak. Allah nak ajarkan tentang sesuatu kepada awak. Sebelum ini awak mungkin tak pernah rasai ujian bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri galakan.Jadi mungkin awak tak terkesan sangat dengan istimewanya diri awak sekarang. Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan rasai, betapa tak mudah sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada tanggungjawab besar yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang amanah membawa imej Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman kita secantik luaran, akhlak kita indah sebagaimana tudung kita, tanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu, kerana wanita seperti kita selalu jadi tumpuan bila sahabat-sahabat ada permasalahan agama. Jangan anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan, yang Allah bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan, bertudung labuh tak semudah yang disangka? Hanya yang betul kental saja dapat terus istiqamah dengannya, dan yang istiqamah dalam mengharapkan keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat istimewa di sisi-Nya? Awak tak nak jadi terkenal pada padangan Allah dan penduduk langit? Awak dah nak berputus asa?" Aku menduga.

Melihat dia terus membisu, aku bersuara lagi. "Begitu juga, ujian ini mungkin nak menyedarkan sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa saja dengarkan, kat mana-mana ustaz cakap, dalam mana-mana buku yang kita baca, dakwah mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar awak bukan teori saja apa itu dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya, sesuai perkataanya, tidak melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang kita nasihatkan. Bagaimana kalau dakwahnya tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak berkesan, mad'u kita terasa jauh hati dengan nasihat kita, dan akhirnya keluar lah cakap-cakap belakang macam yang awak alami. Jadi, awak jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul minta kita berdakwah secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara awak, Allah nak awak perbetulkan kaedah dakwah yang awak guna, Allah nak kata, salah tu, kena perbaiki. Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi kekuatan, Allah tegur supaya kerja-kerja ini dapat awak laksanakan dengan lebih berkesan. Bila berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam orang. Ada yang sensitif, ada yang terbuka, jadi kena bijak kita sesuaikan. Dai'e yang kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan, bukan pilihan."
  
"Lagi, Apa Allah nak bagitahu awak? Terasa sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan, kejian dan kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat kita sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat daripada perbuatan ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan permusuhan juga. Bila ada apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa sahabat kita sendiri, cakap secara jujur dan ikhlas, insyaAllah semua orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat meresap. Kalau pun dia mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia tak terasa hati, dan tak ada permusuhan antara kita".

"Awak, walaupun awak rasa ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi saya tak tengok satu pun perkara buruk yang Allah maksudkan terhadap awak. Semuanya ada hikmah yang sangat indah. Kenapa teguran Allah ini begitu perit,sakit? Sebab Allah nak kita ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam ingatan kita, kalau ujian tu senang, mungkin kita tak hargainya. Allah nak kejutkan kita, mungkin Allah terpaksa 'menyergah' kita dengan kuat." Sedu-sedannya telah reda, Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga begitu.

"Habis, apa saya kena buat?", tanyanya. "Sekarang awak perlu sujud taubat kepada Allah, minta keampunan-Nya, mungkin ada kesilapan yang awak tak sedari, bersyukur padaNya sebab menegur awak dengan ujian begini. Kemudian pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa dengan awak tu, minta maaf. Sekarang tak timbul isu siapa bersalah pada siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta dan beri kemaafan." jawabku. Dia menggenggam tanganku erat, "Terima kasih sahabat". "Allah yang sedang memujuk awak, saya pelakon tambahan saja, tapi saya bersyukur, Allah kurniakan anugerah pengajaran yang tak ternilai untuk saya hari ni. Terima kasih ya Allah, terima kasih pada awak juga". Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang sama.

P/s: Sahabat, walau siapa pun kita, pakai tudung labuh, tudung biasa, atau yang tidak bertudung sekalipun, kita SEMUA adalah manusia biasa, yang lemah, ada cacat celanya. Sekiranya ada sahabat kita terlalai, terlupa, tolonglah ingatkan dia dengan sebaik cara. Dan yang paling uatama, setiap apa saja ujian yang mendatangi kita, berbaik sangkalah pada Allah. Bertenang, dan fikirkan hikmahnya dengan rasional. InsyaAllah, pasti dan pasti Allah tidak akan pernah menzalimi kita...

BILA DISEBUT LELAKI...

 
Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami berpangkat Saifullah,
Tokoh hebat berjiwa gagah.
Kini,
Bila Disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah sepi,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya sekadar boneka duniawi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga dan melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu menjauh lari,
Lelaki khianati hidup kami.

Dulu, 
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita.
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Wanita diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu, 
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu,dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurian mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh saudaranya.

Dulu, 
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.
  
Renungan: Lelaki, bukan sifatnya lemah, bukan sifatnya mengalah, lantas jangan terus dibiar rebah... Lalu, kau harus bangkit megah, tipuan dunia harus kau tongkah, tak sesekali tunduk pada mehnah, kembalilah pada fitrahmu yang sedia gagah, menjadi pelindung insan yang lemah, menjadi pendokong semangat ummah, kerna dirimu penyunting bidadari jannah.

InsyaAllah masih ada yang benar2 berjiwa hamba kepada Tuhan, namun merdeka daripada menjadi hamba keduniaan... Semoga yang masih teguh akan terus berdiri kukuh, semoga yang rebah akan kembali bangkit gagah.

03 Mac 2011

ADA APA DI BAWAH SAJADAH...?

Assalamualaikum..
 

Hari ini ramai sungguh orang di masjid, sungguh pelik ku rasa. ku lihat semua orang kampung berada di masjid. Din Misai, Zainal Rimau, Draman Panjang, semua ada kat masjid.sekali lagi rasa hairan ku bertambah.bukankah ni waktu solat subuh? Tak pernah-pernah masjid tua ni dipenuhi orang ramai di waktu subuh. Kalau solat jumaat tu, tahulah aku. Ni waktu subuh pun penuh! FULL HOUSE! Apa dah jadi nih!

Aku cuba masuk dalam masjid tua itu melalui pintu utama. Berasak-asak orang kampung di situ. aku beralih ke pintu kecil di tepi masjid, jua berasak-rasak di situ. tiba-tiba aku melihat beberapa orang anggota polis mengawal pintu kecil itu! Uish... apa dah jadi ni? Tak pernah aku lihat pintu masjid dikawal polis. Dekat Mekah pernah la aku tengok! Apa dah jadi nih? Sampai waktu subuh pun berasak-asak nak masuk. Waktu subuh semalam tak ada pulak macam ni. Bahkan makmum yang mari lambat pun masih sempat bertahayat akhir dengan imam dan masih lagi dapat saf pertama... Apa dah jadi nih?

Aku meninjau-ninjau kelompok yang berebut-rebut tersebut. Tiba-tiba ternampak kelibat yang aku kenali, Ahmad Bustaman kawan sekolah ku dulu. Dia makmum yang setia kat masjid nih. dia selalu menghadiri solat jemaah 5 waktu kat di masjid ni. nampaknya dia pun menghadapi masalah yang sama seperti aku. Lalu aku mencuit bahunya dan dia berpaling. Aku bertanya "Mat, apa cerita ni?" Ahmad Bustaman menggeleng kepala sambil berkata "Aku tak tahu. Pelik sungguh solat subuh pagi ni! Ramai sangat orang kampung! Tua muda, kecil besar, lelaki perempuan, semua datang. Aku tak faham la. Kalau macam ni, kul 3.30 pagi tadi dah kena keluar untuk solat subuh ni!" Wah detik hatiku. Nak solat subuh kena datang 2 jam lebih awal! Uish.. uish..

Tak lama kemudian, terdengar suara bilal melaungkan iqamah. dan selepas beberapa ketika, masalah berhimpit-himpit pun selesai. Semua pun dapat masuk dalam saf sama ada dalam masjid ataupun di sebelah luar masjid, dan tempatku untuk subuh kali ini, dipenjuru saf yang terakhir, di sebelah Ahmad Bustaman berhampiran selipar-selipar jemaah masjid. Nak buat macamana, dah semua berebut-rebut. Dan suatu lagi yang pelik pada solat subuh hari ni, sejadah di pasang sampai ke sof terakhir. Biasa satu sof depan je.

Aku membetulkan saf sambil menunggu imam mengangkat takbiratul ihram. Tak lama kemudian, bunyi riuh rendah kat depan. Aku bertanya orang di saf depan. Orang di depanku menggeleng kepala.. Erm, ku tetap menunggu imam memulakan solat subuh. Tak lama kemudian tersebar berita rupanya Zainal Rimau bertelagah dengan tuan imam. Zainal Rimau nak jadi imam solat subuh hari ni. Pelik sungguh! Bila pulak Zainal Rimau begitu teruja dalam bab-bab solat ni. Kalau dulu-dulu solat jumaat pun tak pernah lihat kelibat Zainal Rimau ni. Akhirnya dengan campur tangan anggota polis, tugas tuan imam diserahkan kepada imam 1 masjid iaitu Tok Khatib Malik.

Kemudian terdengar imam melaungkan takbiratul ihram, dan masjid pun bergema dengan suara jemaah subuh kali ini.

Selesai solat, semua jemaah menyelak sejadah dan mengambil sesuatu di bawah sejadah dan aku pun menyelak sejadah ku. Oh... ada duit rupanya! Di bawah sejadah ku hanya terdapat syiling dua puluh sen. Ahmad Bustaman pun mendapat syiling dua puluh sen jugak. Ku jenguk makmum yang berada di saf hadapan ku. di tangannya terdapat syiling 50 sen. Katanya makin depan sof, makin tinggi nilai duit di bawah sejadah. dan semua beredar. Semasa sampai kat pintu pagar, aku terdengar orang berkata rupanya Zainal Rimau bergaduh nak jadi imam sebab duit di bawah sejadah imam ada RM1000 ringgit. Manakala di bawah tikar sejadah saf yang paling depan ada RM500 ringgit untuk setiap orang di saf tersebut. Oh! Sekarang baru ku tahu kenapa subuh kali ini pelik sangat! Tu yang orang gila-gila datang masjid subuh ni, ada duit bawah tikar sejadah!

Sedang aku berjalan keluar dari masjid tiba-tiba terdengar suara ayah sayup-sayup memangil aku. "Man! Man! Bangun! dah nak subuh ni. Bilal Din dah baca Tarahim dah tu!"

La... aku bermimpi rupanya! Oh! Alangkah indahnya kalau mimpiku benar-benar menjadi kenyataan! Eh! aku kena cepat bersiap nak pegi solat subuh ni! Aku tak nak dapat 20 sen je! Aku nak dapat paling tidak RM500. Hehe ke guane?

nukilan:
ustazshafiee
Selepas Solat Subuh berjemaah
di Masjid UniSZA
Malaysia
Pada 27 Oktober 2010
19 zulkaedah 1431H

22 Februari 2011

NAK JADI YANG MANA...?


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, di izinkan-Nya lagi untuk berkongsi tinta di sini. Lewat belakangan ini, kami selaku unit Pendidikan Seni Visual bertungkus lumus menyiapkan rangka kanvas bagi catan untuk kerja amali semester. Alhamdulillah juga, semuanya berjalan lancar. Mohon diberi kesihatan mental dan fizikal dari Ilahi buat saya dan teman2 untuk terus cemerlang gapai kejayaan dunia dan akhirat. Sekian lama tertangguh untuk menulis sesuatu, mungkin kehilangan 'mood', sedikit kekangan kerana kerja2 yang agak bertimbun. Insya-Allah, sempurna nanti. AMIN~

Dari Abu Hurairah ra katanya; bersabda Rasulullah SAW : “Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at (sumpah setia) pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah)”. (Muslim)

Seseorang yang saya panggil kakak, yang pada ketika itu kami sedang mengikuti kelas anatomi dan fisiologi, berbincang perihal darah. Terfikir pula untuk dikongsikan bersama. Mudah2an, ada manfaatnya...

"Darah 'O' paling baik sekali...' Kakak itu pandang saya sambil tersenyum.

Saya tersenyum, "Saya tak tahu darah saya... huhu. Tapi darah 'AB' paling kedekut."

"Akak darah 'AB', adik akak kata akak ni memang kedekut pun... hehe."

"Oppss, hehe... takde la kak... Hmm, kalau ikutkan kesian pada 'O'. Tengok, dia sanggup berkorban untuk yang lain, tapi bila tiba saat dia perlukan bantuan, tak ada siapa pun dapat tolong dia. Melainkan, diri dia sendiri. 'AB' pula, pentingkan diri sendiri. Hanya kelompok dia sahaja." (mood: terharu, sedih)

"Ha'ah, memang 'O' pemurah. Jangan jadi macam 'AB' tu..." sambung akak tu lagi.
"Hmm... terharunya Kak, kesian kat 'O'. Baik sangat. Pemurah. Huu..."

"So? Kita nak jadi yang mana?" Tersenyum lagi. Meminta pendapatku.

"Hehe, mestilah nak jadi 'O'. Baik hati sangat. Tak pentingkan diri pun.Sanggup utamakan kawan2 dia dulu dari diri sendiri. (Tersenyum lagi)

Lecturer berceramah di depan, kami berborak di belakang. (Jangan contohi ye!:p) Tapi, sebenarnya, input yang saya perolehi pada hari itu sangat2 bermakna dan cukup beharga saya kira. Kalau dulu, semasa mengambil subjek biologi saya sudahpun mempelajarinya, tapi sekarang ni, saya belajar dan saya faham nilai sebenar menjadi seseorang yang memiliki sifat 'O' atau sifat 'AB' dalam kehidupan ini.

"Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu, dan Dia tidak akan meminta hartamu." (Muhammad:36)

Tersentuh pada budinya,
ash_mza=)
6.55 pm
IPGMKTAA
C217 semester3 2011

19 Februari 2011

KITA DAN SI ANJING...

Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahawa pada anjing terdapat sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

1. Anjing sentiasa lapar  dan jarang makan sampai kenyang.
♥ Menyamai sifat-sifat orang yang soleh.

2. Tidak mempunyai tempat yang tetap dan berpindah randah mengikut keperluannya.
♥ Menyamai sifat orang yang bertawakkal kepada Allah.

3. Tidak tidur pada waktu malam melainkan sedikit sahaja. Anjing sentiasa berjaga-jaga.
♥ Menyamai sifat orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana munajat kepada Allah.

4. Jika mati tidak meninggalkan apa-apa yang perlu diwarisi dan tidak pula mewariskan.
♥ Menyamai sifat-sifat hamba yang zuhud.

5. Tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan diri sekalipun dipukul atau dimarahi.
♥ Menyamai tanda-tanda yang dimiliki para murid yang siddiqin yang sedang menuntut ilmu kerana mereka ini tidak akan marah dan tidak merajuk walaupun dipukul dan diuji dengan pelbagai ujian.

6. Lebih redha dan suka bertempat di tanah, tidur di atas tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah darpada manusia.
♥ Menyamai sifat orang yang tawaduk, merendah diri dan tidak sombong.

7. Jika tempatnya diambil alih atau diletakkan sesuatu benda lain, anjing akan berpindah ke tempat lain tanpa berasa marah atau berdendam.
♥ Menyamai sifat hamba yang redha dengan bahagian yang ditakdirkan untuknya.

8. Jika dipukul, dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan, anjing menerimanya
♥ Mmenyamai sifat hamba Allah yang khusyuk.

9. Jika melihat orang makan, anjing hanya melihat dari jauh, tidak meminta-minta atau mengganggu. Diberi diambilnya, dan jika tidak diberi, anjing akan diam sahaja.
♥ Menyamai sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah.

10. Jika berjalan atau pergi dari tempat asalnya, anjing tidak akan asyik menoleh-noleh ke belakang.
♥ Menyamai sifat hamba yang tetap pendiriannya.

KAMULAH YANG PALING BERHARGA...

Seekor anak kucing yang kecil mungil sedang berjalan-jalan di ladang pemiliknya. Ketika dia mendekati kandang kuda, dia mendengar binatang besar itu memanggilnya. “Kamu mesti masih baru di sini, cepat atau lambat kamu akan mengetahui bahawa pemilik ladang ini mencintai saya lebih dari binatang lainnya. Kerana saya mampu mengangkut banyak barang untuknya, saya kira binatang sekecil kamu tidak akan bernilai sama sekali baginya”, ujarnya dengan sinis.

Kucing kecil itu menundukkan kepalanya dan pergi. Tapi, dari kandang sebelah, ia mendengar suara seekor lembu. “Saya adalah binatang yang paling terhormat di sini sebab puan di sini membuat keju dan mentega dari susu saya. Kamu tentu tidak berguna bagi keluarga di sini”, dengan nada mencemuh.

Belum lagi kesedihannya hilang, ia mendengar teriakan biri-biri. “Hai lembu, kedudukanmu tidak lebih tinggi dari saya. Aku memberi bulu kepada pemilik ladang ini. Saya memberi kehangatan kepada seluruh keluarga. Tapi kata-katamu soal kucing kecil itu, memang benar. Dia sama sekali tidak ada manfaatnya di sini.”

Satu demi satu binatang di situ ikut serta dalam pencemuhan itu, sambil menceritakan betapa tingginya kedudukan mereka di ladang itu. Ayam pun berkata bagaimana dia telah memberikan telur, Semua binatang sepakat kalau si kucing kecil itu adalah makhluk tak berguna dan tidak sanggup memberikan sumbangan apapun kepada keluarga itu.

Terpukul oleh kecaman binatang-binatang lain, kucing kecil itu pergi ke tempat sepi dan mulai menangis menyesali nasibnya. Sedih rasanya, sudah yatim piatu, dianggap tak berguna, disingkirkan dari pergaulan pula…


Ada seekor kucing tua di situ mendengar tangisan tersebut, lalu mendengar keluh kesah si kucing kecil itu. “Saya tidak dapat memberikan sumbangan kepada keluarga di sini, sayalah haiwan yang paling tidak berguna di sini…”

Terharu, kucing tua berkata, “Memang benar bahwa kamu terlalu kecil untuk menarik pedati. Kamu tidak berupaya memberikan telur, susu ataupun bulu. Tetapi bodoh sekali jika kamu menangisi sesuatu yang tidak mampu kamu lakukan. Kamu harus menggunakan kemampuan yang diberikan oleh Tuhan untuk membawa kegembiraan.”

Malam itu ketika pemilik ladang baru pulang dan kelihatan amat lelah kerana perjalanan jauh di panas terik matahari, kucing kecil itu lari menghampirinya, menjilat kakinya dan melompat ke pelukannya. Sambil menjatuhkan diri ke tanah, pemilik ladang dan kucing kecil itu berguling-guling di rumput disertai tawa ria.

Akhirnya pemilik ladang itu memeluk dia erat-erat dan mengelus-elus kepalanya, dan berkata, “Meskipun saya pulang dalam keadaan letih, tapi rasanya semua jadi sirna, bila kau menyambutku semesra ini. Kamulah yang paling berharga di antara semua binatang di ladang ini. Kamu kecil, tapi sangat mengerti ertinya kasih…”

07 Februari 2011

MENGAPA DIPANDANG PADA YANG BURUK...?

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah... 
Hasrat penulis kali ini hanya ingin berkongsi sepotong ayat yang benar2 membuatkan penulis tertarik~

"Unzur man qala la tanzur man qala..."

Hati tertarik pada kata2 ini. Katanya, "Lihatlah pada apa yang dikata, bukan melihat pada siapa yang berkata..." (Lebih kurang...)

Orang selalu kata, "Alah, nak bercakap hal hukum hakam konon. Yang engkau tu dah alim sangat? Dah baik sangat?"
Hah, inilah yang selalunya berlaku. Dan saya pun kadang2 tergolong dalam manusia yang jenis macam ni. Hinggalah pada satu masa. Saya terjumpa satu kata2 yang bunyinya lebih kurang begini...

"Selagi mana kata2nya benar dan betul, terimalah kata2nya. Walaupun orang itu sendiri tidak mengamalkannya."


Jadi saya tersedar, di hati mulai terdetik, 'Tak sepatutnya aku pandang mereka hina macam tu.' Benar, mereka tahu, tapi mereka tidak amalkan. Mungkin Tuhan suruh kita berfikir di sebaliknya. Berfikir kembali bagaimana pula dengan penerimaan kita. Adakah kita mengambil yang baik? Ataupun sebaliknya. Betullah, dan tak dinafikan, segelintir manusia hanya tahu bercakap, tapi tidak pernah cuba untuk menjadi seperti apa yang diperkatakan.

Tapi, hakikatnya, tak siapa pernah tahu, mungkin insan tersebut ditarbiyah dengan setiap apa yang dia perkatakan. Lalu dia sendiri hanya mampu mengujarkan hal yang pernah dia perolehi. Dan mungkin juga, waktu dia menyatakannya, dia juga dalam proses membaikpulih dirinya sendiri. Mungkin...

"Barangsiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan maka ditimpakan ujian padanya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah sentiasa menguji hamba2-Nya, bezanya cuma, setiap ujian yang diperletakkan ke atas setiap hamba2-Nya adalah dengan cara yang berbeza=) 

Memilih yang baik itu, adalah yang terbaik buat kita. Justeru, mengapa di ambil yang buruk, sedangkan ada yang baik diberikan pada anda?

Terima dengan husnudzon,
ash_mza=)
12.24 am
IPGMKTAA
C217 semester3 2011

01 Februari 2011

JAWATAN KOSONG TERTUTUP...!!!

:: SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN ::

.: KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

.: EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

.: TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

.: LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

.: KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yang banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yang cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

.: PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

.: ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

.: CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

.: TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasullah SAW:
"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada! sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk.Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya" Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).! "

PUNCANYA PERANGKAP TIKUS...

Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam, "Hmmm... makanan apa lagi yang di bawa mereka dari pasar agaknya?". Ternyata, yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang Tikus naik panik bukan kepalang. Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah! Di rumah sekarang ada perangkap tikus!"

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkap tikus!" Sang Ayam berkata, "Tuan Tikus, Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku." Sang Tikus lalu pergi menemui Sang Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku." Tikus lalu menemui Sang Lembu. Ia mendapat jawapan sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus?" Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang ular berkata, "Eleh engkau ni. Perangkap tikus yang sekecil itu takkanlah nak membahayakan aku."


Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular tersebut yang terperangkap membuatkan ular itu semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke klinik berhampiran. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam. Isterinya lalu minta dibuatkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk mendapatkan kaki untuk dibuat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan, Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Begitulah kisahnya. Jadi pengajarannya, jika suatu hari, anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan anda pula mengira itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.
Wallahu a'lam.

31 Januari 2011

SI PENJUAL TEMPE...

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe... Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”. Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya “Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa.. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.

MALAIKAT BUATMU...


Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...   
 
Dia bertanya kepada Tuhan: "Para malaikat disini mengatakan bahawa esok  Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup  disana; saya begitu kecil dan lemah?"   

Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan  menjaga dan mengasihimu."   

Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; di dalam syurga ini, apa yang saya  lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa... Inikan sudah cukup bagi  saya untuk berbahagia."   

"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"   
   
"Dan bagaimana bisa saya mengerti di saat orang-orang berbicara kepada saya jika saya tidak mengerti bahasa mereka?" 

"Malaikatmu   akan berbicara  kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar; dan  dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara berbicara."   

"Dan apa yang akan saya lakukan saat saya ingin berbicara kepada-Mu?" "Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa"   
   
"Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya ?" 
"Malaikatmu akan melindungimu; walaupun hal tersebut mungkin akan mengancam jiwanya"   

"Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak melihat-Mu lagi" "Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku, dan akan mengajarkan bagaimana agar kamu bisa kembali kepada-Ku; walaupun sesungguhnya Aku akan  sentiasa disisimu"   

Disaat itu, Syurga begitu tenang dan heningnya sehingga suara dari Bumi  dapat terdengar, dan sang bayi bertanya perlahan : "Tuhan, jika saya harus  pergi sekarang, bisakah Kamu memberitahuku nama malaikat tersebut?"

"Kamu akan memanggil malaikatmu itu: "
IBU
..............................................................................................................................................

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: 
Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: "Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab: "Ya." Allah bertanya lagi: "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?" Malaikat menjawab:"Ya". Allah bertanya kali ketiga: "Apakah kata hamba-Ku?" Malaikat menjawab: "Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan 'Dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali'." Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya: "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu 'Rumah Kesyukuran'." (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...