23 November 2010

MULUT-MULUT MANUSIA...


Alkisah dalam satu riwayat menceritakan bagaimana pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu,sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata, "Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu dan kembali berjalan.

Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula, "Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal,alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...