01 Oktober 2011

BAKAL MENANTUKU...


Bakal Menantuku,
Tiba saatnya nanti,
Kuserahkan puteriku sebagai amanah,
Kerana kuhormati tuntutan fitrah,
Hiasilah hidupnya dengan hasanah,
Pandulah cintanya menuju jannah.

Dia puteri kesayanganku,
Melepaskannya tak semudah itu,
Dengarkan terus bicaraku,
Ada syarat sebelum kumerestu.

Bakal Menantuku,
Cinta yang kau tawarkan penuh bahagia,
Tiada hati yang terluka,
Tiada cinta lain rasa dikhianati,
Tiada anak isteri terasa sepi.

Bakal Menantuku,              
Kuingin  menjadi ayah sewibawa Rasulullah,
Tak rela puterinya dimadukan,
Baginda telah lalui kepayahannya,
Tak mahu menantunya turut kelelahan,
Kerana ia bukan keistimewaan,
Tapi tanggung jawab yang membeban.

Bakal Menantuku,
Berjanjilah padaku  dengan syarat ta’liq,
BEBASKAN PUTERIKU,   
Jika nanti kau ingin duakannya tanpa rela,
Izinkan cintanya berlabuh,
Buat lelaki yang setianya teguh.

Bakal Menantuku,
Semua puteri Rasulullah tak rela bermadu,
Begitu jugalah fitrah puteriku,
Allah memberikan pilihan,
Jika kau enggan, gugurlah penerimaan.

Bakal Menantuku,
Ku ingin dia menjadi bidadarimu di sana,
Jangan sukarkan ujian hidupnya,           
Dengan cinta lain yang kau undang bersama,
Kerana fitrah cinta, tiada dua,
Bimbang rosak agamanya kerana kecewa.

Bakal Menantuku,
Kukenali puteriku berakhlak mulia,
Kukenali puteriku tekun beragama,
Perteguhkanlah dia dengan ketinggiannya,
Hidup beragama selama-lamanya,
Jangan cintanya kau persia,
Sudikah syaratku kau terima?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...