Andai dia pergi dulu
sebelum mu, sapulah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih
hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah
seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti
bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama
doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang
dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu,
lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di
tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini
menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya.
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir
pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk
bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti
Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah.
Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan
merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang
ditinggalkan suami!
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk
merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain.
Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali
kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran.
Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah
setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada
Allah.
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik
ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah
yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah,
sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan
ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi
katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh
menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada
kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian
hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala
kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi.
Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling
derita.
P/s: Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah
daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang
tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan