Sabran menyuapi bubur panas yang baru dimasaknya. Suapan itu perlahan, lembut dan penuh kasih sayang. Ibunya mengenyam makanan perlahan-lahan. Emosinya berombak dan bergetar. Wajah tuanya suram. Ada duka dan lara yang membusung di balik sinar matanya.Sabran melontar pandangan ke luar. Hari sudah malam. Gelintin menutup seluruh mayapada.
Bukan sebulan, tetapi sudah setahun Sabran menemani ibunya untuk menyuapi, memandi, membasuh najis dan memakaikan baju untuknya. Setahun lalu, ibubapanya terlibat kemalangan, bapanya meninggal di tempat kejadian. Ibunya patah kaki dan tulang belakangnya cedera. Bahagian bawah badannya tidak berfungsi, sementelah usianya yang lanjut menjadikan tubuhnya lemah. Abang dan kakaknya sudah serik untuk menjaga ibu.Dia tidak kisah jika abang dan kakak tidak membantu, sekelumit sesalpun tidak hingap di nubarinya.
Dahulu, sewaktu Sabran memeluk Islam, ibu bapa dab adik-beradik membuangnya, menghalaunya keluar dari rumah. Terasa kehilangan seluruh isi dunia. Hidupnya bermandi air mata. Siang malam dia berdoa agar Allah melembutkan hati keluarganya. Sebaik kemalangan itu berlaku, ibunya terpaksa menerima Sabran kembali kerana hanya dia sahaja yang sanggup menjaga ibunya. Namun, hidayah Allah belum sampai ke dalam hati ibunya. Dia perlu bersabar dan terus berusaha. Andai Nabi sendiri tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Thalib, apatah lagi dirinya insan biasa.
"Ibu, Allah meletakkan ibu bapa di martabat yang tinggi. Saya wajib taat dan mencintai ibu bapa. Kecintaan kepada ibu bapa adalah bukti kecintaan kepada Allah. Islam itu agama yang indah sekali," tuturnya lembut. Sabran sengaja membuka topik, mahu mengajak ibunya berbual. Tetapi lidah ibunya tetap kelu. Tidak membalas walau sepatah kata.
Sabran meneruskan suapan satu persatu. Dia teringat kalam Ustaz Syamsuri, "Jika dia tidak mahu berbicara denganmu, diam sajalah. Namun biarkan anggotamu berbicara dengannya."
"Bagaimana anggota saya mampu berbicara, ustaz?"
"Akhlak yang mulia adalah komunikasi yang paling berkesan. Berkhidmatlah dengan penuh kasih sayang, bekerjalah dengan cermat, jagalah pekertimu! Kerana Nabi sendiri mengaku bahawa dia diutuskan untuk mengajar manusia akhlak yang mulia. Berkat kamu berkhidmat kepada ibumu, mudah-mudahan hidayah agama akan sampai padanya."
"Adakah cukup dengan itu sahaja?"
"Selain itu, engkau perlu istiqamah berdoa. Kerana hidayah milik Allah," ucap Ustaz Syamsuri. Pesanan itu dipegang sepenuh hati.
Seusai makan, dia membawa ibu ke bilik menaiki kerusi roda. "Ibu, saya ingin solat isyak sebentar. Ibu berehat ya," ucap Sabran lembut sambil memerhati wajah ibu yang sangat dikasihi. Rasa sedih mengusik kalbu dan Sabran menjadi sebak tiba-tiba. Segera dia berlalu ke tandas untuk berwuduk. Dia menghampar sejadah di sebelah katil ibu dan mengangkat takbir. Ibunya memerhati dalam diam.Kemudian, selepas solat Sabran berzikir.
Fikirannya menerawang jauh dan teringat akan satu riwayat: 'Sejurus kewafatan Nabi Muhammad, Abu Bakar cuba meneruskan tugas Nabi menyuapi makanan seorang Yahudi buta di pintu masuk pasar Madinah. Namun, setelah suapan pertama diberikan, Yahudi buta itu meludahkan semula makanan seraya berkata, "Kamu bukan lelaki yang selalu datang kepadaku. Suapanmu kasar dan makanan yang kamu beri sukar ditelan. Lelaki yang sering menyuapiku tangannya lembut, suapannya perlahan dan makanannya mudah dikunyah." Terkejut Abu Bakar mendengar kalam itu. Diapun menangis lalu menyatakan bahawa, "Orang yang selalu menyuapi kamu itu adalah Muhammad yang engkau hina dan cerca setiap hari." Yahudi itu tersentak. Akhirnya dia memeluk Islam atas keperibadian murni Rasulullah. Dia tetap memperolehi hidayah biarpun selepas kewafatan Nabi.'
"Sabran..." panggil ibunya perlahan. Sabran tertegun setagal, inilah kali pertama ibunya menyebut nama itu.
"Iya ibu?"
"Sabran, ibu rasa, ibu mahu masuk Islam. Bolehkah kamu ajarkan ibu tentang Islam?" Mercup perkataan itu keluar dari bibir ibunya. Sabran tergegau metah. Hatinya sungguh takjub. Setelah bertahun-tahun dia berdoa, malam ini doanya dimakbulkan Allah.
"Boleh ibu, insyaAllah saya akan ajarkan," Sabran menangis bahagia.
sumber:genQ
1 ulasan:
nice post :)
ditunggu kunjungan baliknya yaah ,
Catat Ulasan