12 Disember 2012

MEREKA BUKAN ARTIS...!

1. ABU BAKAR al-Siddiq.

Sahabat Rasulullah yang paling rapat merangkap bapa mertua Baginda s.a.w

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang yang sanggup berkorban harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku. Tetapi beliau merupakan saudaraku dalam Islam". (Riwayat Muslim)

2. UMAR al-Khattab
Pengislamannya benar-benar memberi nafas baru kepada Islam. Merupakan sahabat kedua yang paling dicintai Rasulullah s.a.w, juga merangkap mertua Baginda.
Ali pernah berkata ketika kematian Umar: "Kamu tidak meninggalkan seorang yang sangat aku cintai melebihi daripadamu. Sehingga bertemu dengan Allah sekalipun, tidak ada yang dapat menandingi amalanmu. Demi Allah, aku yakin sesungguhnya Allah akan menempatkanmu bersama-sama dengan dua orang sahabat kamu. Aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 'Aku datang bersama-sama Abu Bakar dan Umar, aku masuk dan keluar bersama-sama mereka. Aku berharap semoga Allah menjadikan kamu bersama kedua-duanya.'". (Riwayat Muslim)
3. UTHMAN bin 'Affan
Sayangnya Baginda kepada beliau sehingga mengahwinkan dua orang puterinya dengan beliau. Beliau adalah satu-satunya sahabat yang Rasulullah s.a.w malu kepadanya.
Sabda Rasulullah, maksudnya: "Tiada seorang pun yang pernah mengahwini dua orang anak seorang Nabi sejak zaman Nabi Adam a.s selain Uthman. Beliau digelar zu al-nur'ain (yang memiliki dua cahaya hati)." (Riwayat al-Baihaqi)   
 4. ALI bin Abu Talib
Sahabat, sepupu dan merangkap menantu Rasulullah s.a.w. Biarpun masih muda, pemikirannya dewasa, tubuhnya perkasa dan semangatnya waja. Beliau tidak teragak-agak mengorbankan diri demi Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Ali, maksudnya: "Kedudukanmu denganku seperti kedudukan Nabi Harun dengan Nabi Musa, tetapi tiada Nabi selepasku." (Riwayat Muslim)
 5. TALHAH bin Ubaidillah
Seorang saudagar berjaya. Namun, dia keluar dari "comfort zone" dengan memeluk Islam. Natijahnya, badan yang suatu ketika dahulu mulus, kini tembus dengan cacahan pedang, tombak dan panah.
Baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mahu melihat syahid yang masih berjalan di atas muka bumi ini, tengoklah Talhah bin Ubaidillah. Setiap kali Abu Bakar teringatkan Uhud, beliau berkata: 'Hari itu keseluruhannya milik Talhah!'" (Riwayat Ahmad)
6. ZUBAIR bin al-'Awwam
Sahabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah daripada pelbagai arah. Beliau ialah sepupu Nabi kerana ibunya ialah kakak ayah Baginda. Selain itu, beliau ialah anak saudara Nabi kerana Khadijah r.a ialah ibu saudaranya. Beliau juga biras Nabi kerana beristerikan Asma' binti Abu Bakar iaitu kakak Aisyah.        
7. ABU UBAIDAH bin al-Jarrah
Dalam medan Badar, beliau terpaksa membunuh ayahnya yang tidak henti-henti menghalangnya. Lalu Allah menurunkan firman-Nya sebagai pengubat jiwa dan pujian buatnya, mafhumnya: "Engkau tidak akan mendapati orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat akan berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka itu bapa, anak, saudara, atau keluarga mereka. Merekalah orang yang Allah teguhkan iman di hati." (Al-Mujadalah 58:22)
8. SA'AD bin Abi Waqqas  
Beliau sangat mencintai ibunya, namun lebih mencintai Allah. Ibunya yang masih kafir mogok lapar untuk memaksa beliau kembali kufur. Beliau berkata dengan berat hati: "Sekalipun ibu ada seribu nyawa dan ditamatkan satu persatu, saya tetap tidak akan tinggalkan agama ini."
Allah berfirman maksunya: "Sekiranya ibu bapamu mendesakmu supaya syirik kepada-Ku dengan sesuatu yang aku tidak tahu, maka usah patuhi. Namun tetaplah bersahabat dengan mereka di dunia dengan sebaik-baiknya." (Surah Luqman 31:15)
Beliaulah orang pertama yang melepaskan anak panah dalam peperangan Islam.
9. SA'ID bin Zaid
Adik Ipar kepada Umar al-Khattab. Beliau boleh dibanggakan dengan peristiwa dilanyak oleh Umar yang menjadi sebab keislaman Umar yang amat diharap-harapkan oleh Baginda. Sebelum memeluk Islam lagi, beliau telah dicemuh dan diseksa oleh masyarakatnya kerana mempertikaikan budaya jahiliah. Lalu, hadirnya Islam untuk memenangkannya.
10. ABDUL RAHMAN bin 'Auf
Beliau hebat dalam perniagaan dan peperangan. Tidak ada satu peperangan besar bersama Rasulullah pun yang beliau terlepas. Bahkan operasi ketenteraan Islam dalam peperangan besar seperti Tabuk dapat digerakkan berkat pakej bantuan yang diberikannya. Beliau juga menanggung perbelanjaan hidup para isteri Baginda selepas kewafatan Baginda.  
#10 sahabat jaminan syurga   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...