29 September 2016

HIJRAH YANG MUDAH...

Ada harinya
di mana kita memilih untuk menyendiri 
dan berdiam diri

Ada ketikanya
kita sebenarnya merindukan sesuatu
seseorang
satu waktu di masa lalu

Masa pantas sahaja berlalu
kau jadi bungkam
merenung hal-hal terkebelakang
buat hati kau merasa sedih sayu pedih

boleh jadi mereka yang rapat dulu
telah turut menyepi
mereka yang sihat walafiat telah lama dijemput
oleh Ilahi

Kau masih merenung
hidup bersama kenangan
kau bahkan keliru
mengapa kau tak sekuat dulu
ujian tak mampu kau harung
doa tak mampu kau pohon
tahajud langsung kau tak bangun
juga dhuha kau pandang kosong

Quran yang dulu kau pegang
erat hingga bawa ke lena
kini tersadai berhabuk
di balik almari usang

Kau tertanya-tanya pada Tuhan
kenapa rasa hati gundah dan tak pernah tenteram
sedang hakikat jiwa kau telah jauh dari-Nya
terbuai dunia-maksiat mengalir dalam arus darah kau
hati kau keras

Hidayah dan taufik yang dulu tertaut kemas
semakin terlepas, dibiar pergi
sedang kau tahu di dalam hati masih mahukannya
kau sombong-boleh jadi kau hilang dorongan
sepertinya hilang punca pegangan
kau hanyut

Rasa masih mahu berubah tak pernah pun hilang
kau masih terus mencuba
walau kau sedar kau kian rapuh
kau seringkali tewas dengan ujian dan tribulasi
kau tak pernah lelah
dan berhenti berusaha

Dan tetapkanlah keyakinan kau
bahawa Tuhan itu pasti menolongmu
Teguhkan hati kau.
Ya, saat ini berkali lagi mungkin kau jatuh
bangkitlah 
walau mungkin kau rasa kau tak berguna
seperti mempermainkan taubatmu kepada Tuhan

Bangkit
dan kikislah sedikit demi sedikit
karat-karat yang telah menempel di jiwa
kau kena kuat dan yakin
bahawa Tuhan itu selalu ada
DIA akan menolongmu

Sebab mati itu makin mendekat
kau kena terus mencuba
masa tak pernah menunggu kau
dan
percayalah
akan sampai ketikanya bila kau berjaya harungi
apa yang mendatang
kau berjaya hijrah diri untuk tidak mengulangi
kau mampu tersenyum puas
kerana kau telah mampu meletakkan
nafsu di tempat sepatutnya.

Ya istiqamah tu benar-benar menguji
maka tahanlah diri
tetapkanlah iman.
Ya, mahar sorga itu benar-benar mahal
manakan mungkin kau punya
jika di dunia kau tak diberi ujian.


#salammaalhijrah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...