27 Februari 2012

YANG DICARI...


Bertahun aku cari yang satu itu.
Yang namanya sahabat.

Ada aku jumpa,
tapi persahabatan tersebut punah pertengahan jalan.
Kerana mungkin  tidak dibaluti dengan keikhlasan dan rasa kejujuran.

Acap kali aku menanti yang satu itu.
Yang namanya teman.

Ada aku hampiri,
ingat dia teman di sisi,
hakikat setianya dia pada insan lain.
Aku mungkin cuma galang ganti.

Sesekali aku cuba bergaul mesra
dengan mereka
yang namanya rakan.

Indah seketika.
Langsung tidak membawa makna.
Cukup untuk mengisi masa,
pada kekosongan yang bermukim di jiwa.

Leka aku mengejar kawan,
mencari seseorang yang dapat aku anugerahkan gelaran.
mampu untuk aku sandarkan tawa dan sendu terpendam.

Ramai yang aku jumpa,
tapi sayang,
lumrah namanya kawan
datang dan pergi 
silih berganti.

Yang di cari
masih jua belum di temui. 

Tidak kunjung tiba,
Menulis untuk menasihati diri,
Cempaka217
05RabiulAkhir1433Hijrah
1:07a.m 
27022012

"Persahabatan menjadi indah bukan hanya bila kita boleh membuatkan kawan kita tersenyum dan ketawa. Persahabatan akan lebih indah apabila kita sama-sama memberi ruang kepada diri dan sahabat untuk mengenal hakikat diri." (azzariyat.com)

P/s: Syafakillah ukhtiku, roomateku... Cepat sembuh ye comei... kuat. Harus kuat. Kena kuat:) Kalau perlukan saya, saya tetap ada di sini.

26 Februari 2012

"...YANG HITAM KE YANG PUTIH...?"

Temubual seorang pemuda dengan pakcik gembala kambing biri-biri.


Pemuda : Baguslah ternakan biri-biri pakcik. Boleh saya tanya beberapa soalan tak?

Pakcik : Boleh aje...

Pemuda : Berapa jauh biri-biri ni berjalan setiap hari?

Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?

Pemuda : Yang putih.

Pakcik : Kalau yang putih berjalan lebih kurang enam kilometer setiap hari.

Pemuda : Yang hitam?

Pakcik : Yang hitam pun sama...

Pemuda : Berapa banyak plak rumput biri-biri ni makan setiap hari?

Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?

Pemuda : Yang putih?

Pakcik : Ah, yang putih makan lebih kurang empat kilo rumput setiap hari.

Pemuda : Dan yang hitam?

Pakcik : Yang hitam pun sama...

Pemuda : Berapa banyak bulu yang mereka hasilkan setiap tahun?

Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?

Pemuda : Yang putih?

Pakcik : Aaa...yang putih menghasilkan sekitar enam kilo bulu setiap tahun.

Pemuda : Dan yang hitam?

Pakcik : Yang hitam pun sama...

Pemuda : Kenapa pakcik membezakan biri-biri pakcik yg putih dgn yg hitam, padahal jawapan semuanya sama aje?

Pakcik : Mestilah... sebab biri-biri yang putih itu pakcik yang punya.

Pemuda : Ooo, gitu ke... abis tu yang hitam tu sapa punya?

Pakcik : Yang hitam pun sama...

Pemuda : Arghhh... tensionyaaa...!

25 Februari 2012

"DI TAPAK KAKI...!"

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!


Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur. "Assalamualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!" Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!

Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit," dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.

Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja.

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?"

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

"KALAU TAK SUKA, PULANGKAN...!"


Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulung.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?!" Sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.

"Fail saya kat depan tu mana?"

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. "Laila" Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Saya nak ke out station minggu depan."

"Lama?" Soal Laila.

"Dalam seminggu."

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"

"Budak-budak?"

"Ikut jugalah."

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu!"

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. "Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! 

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"

"Manalah saya ada masa..." "Takpe... pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan... bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma...

"Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

"Awak masak apa?"

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"

"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.

"Keluar!"

"Mama dah masak Pa!"

"Awak saja makan!"

"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. ." "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?"

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

"Laila..." serunya

"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

"Sunyi pulak rumah ni mak."

"Lama-lama kau biasalah."

Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."

"Tak ada lah?"

"Ingat papa ni cop duit?"

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke?"

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan." Ujar Laila perlahan

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , pecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. "Abang!"

"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. "Laila"

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. "Wangi-wangi lagi. Dating ye?"

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

"Ikut boleh?"

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini."

"Papa pesanlah..."

"Nantilah besar sikit." Dalihnya.

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."

"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je."

Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!" Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. "Kalau tak suka pulangkan."

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.......

17 Februari 2012

"...APAKAH SANGKAKALA ITU...?"

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Ketika Allah telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah menjadikan sangkakala (trompet) dan diserahkan kepada malaikat Israfil, kemudian ia letakkan di mulutnya sambil melihat ke Arasy menantikan bilakan ia diperintah."

"Saya bertanya: "Ya Rasulullah apakah sangkakala itu?" Jawab Rasulullah: "Bagaikan tanduk dari cahaya." Saya tanya : "Bagaimana besarnya?"

"Jawab Rasulullah: "Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutusku sebagai Nabi, besar bulatannya itu seluas langit dan bumi, dan akan ditiup sehingga tiga kali. Pertama: Nafkhatul faza' (untuk menakutkan). Kedua: Nafkhatul sa'aq (untuk mematikan). Ketiga: Nafkhatul ba'ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan)."


Allah telah menggambarkan kedahsyatan sangkakala malaikat Israfil itu dalam surah An-Naml (ayat 87): "Dan pada hari ketika sangkakala ditiup, maka terkejutlah semua yang di langit dan semua yang di bumi kecuali mereka yang dikehendaki Allah. Dan mereka semua datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri."

Malaikat Israfil diperintahkan oleh Allah untuk meniupkan sangkakala sebanyak tiga kali apabila kiamat telah tiba.

Setelah tiupan pertama, Allah memerintahkan tiupan kali yang kedua. Pada tiupan kali kedua ini, maka terkejutlah dan matilah semua makhluk yang berada di langit dan di bumi kecuali mereka yang dikehendaki Allah iaitu malaikat Jibrail, Mikhail, Israfil, Izrail dan empat malaikat pembawa Arasy.

Allah berfirman: "Dan ditiuplah sangkakala maka matilah siapa yang ada di langit dan di bumi kecuali siapa-siapa yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing)." (Az-Zumar:68)

Kemudian Allah memerintahkan malaikat maut untuk mencabut nyawa Jibrail, Mikhail, Israfil dan para malaikat pembawa Arasy yang empat, maka tidak ada yang tersisa kecuali Allah dan malaikat maut.

Kemudian Allah berfirman kepada malaikat maut: "Wahai malaikat maut, kamu adalah salah satu dari makhluk-makhluk-Ku, maka sekarang matilah kamu."

Serta-merta matilah malaikat maut dan tidak ada yang tersisa kecuali Allah Yang Maha Perkasa, Yang Hidup yang tidak pernah mati. Yang Awal yang tidak ada sebelumnya sesuatu apa pun, yang Akhir yang tidak ada kesudahannya sesuatu apa pun.

Kemudian Allah berfirman: "Akulah raja, Akulah penguasa. Di manakah raja-raja di bumi? Di manakah penguasa? Di manakah orang-orang yang sombong? Dan untuk siapakah kekuasaan pada hari ini? Maka Dzat menjawab dengan berkata: "Bagi Allah Yang Maha Esa lagi Perkasa!"

Setelah itu Allah menurunkan hujan dari langit seperti gerimis, serta merta tumbuhlah jasad makhluk dari tulang yang terdapat di punggung manusia paling bawah. Tubuh atau jasad itu tersusun kembali.

Setelah sempurna penciptaan tersebut kemudian Allah menghidupkan Israfil, kemudian memerintahkannya untuk berseru:

"Wahai tulang-tulang yang hancur, sendi-sendi yang terputus, bahagian-bahagian yang terpisah dan rambut-rambut yang tercabut, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk bersatu kembali untuk keputusan keadilan!"

"Sesungguhnya ia hanyalah sekali tiupan saja, maka tiba-tiba mereka sudah dihadirkan di hadapan kami."- Surah Yasin, ayat 53.

Pada sangkakala itu terdapat lubang-lubang yang banyak sesuai dengan jumlah roh atau nyawa semua makhluk, maka Israfil pun meniupnya dan terbanglah semua roh ke jasadnya masing-masing.

Arwah kaum Mukminin akan terbang dengan memancarkan nur (cahaya) sedangkan arwah kaum kafir akan menimbulkan kegelapan, kemudian Allah berfirman: "Demi kebesaran dan keperkasaan-Ku semua roh harus benar-benar kembali kepada jasad yang dahulunya dihuni di dunia!"

Bersemayamlah setiap roh di jasad masing-masing dan setiap manusia akan bangun dari kuburnya sedangkan kepalanya masih bergelumang dengan tanah.

Maka berkatalah orang-orang kafir: "Ini adalah hari yang sulit," sedangkan orang-orang Mukmin (Islam) berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan dari kami!"

12 Februari 2012

TIGA PILIHAN...


11 September 2001 telah mengjungkirbalikkan warna dunia
Osama bin Laden dikambinghitamkan "Pengganas Islam".
Di hadapan kita terpantul tiga pilihan "penonton pasif",
"mujahid memikul semua jenis senjata", atau "menjadi 
warga bijaksana tanpa bijaksana".

Islam yang dimuliakan bukan lagi ajaran Nabi Muhammad
Islam yang dimuliakan kini ajaran Nabi Amerika.

Duta Amerika, di sebuah negara, berfatwa lagak ulama:
"Tentera Amerika tidak boleh membunuh kerana Presiden
negerinya dipilih rakyat, membunuh bukan ajaran Islam!"

Wah! Wah!

Bakal tindakan-tindakan selanjutnya: "Jumaat diharamkan
sembahyang di masjid. Sembahyang hanya boleh dilakukan
pada hari Ahad sejajar dengan matlamat Kristian yang
meritualkan agama sebagai agama ibadat.

Allah! Allah!

"Bacaan khutbah dan ceramah masjid mesti mendapat
kelulusan daripada pihak berkuasa Amerika!"

Hah! Hah!

"Tafsir Al-Quran para ulama salaf sudah ketinggalan zaman.
Al-Quran diperlukan tafsiran baru. Hanya ulama-ulama
lulusan universiti Amerika layak mentafsirkan Al-Quran!"

Masya-Allah! Masya-Allah!

"Semua penganut agama tertakluk di bawah undang-
undang negara. Oleh itu, perkara-perkara yang berkaitan 
dengan halal dan haram juga tertakluk di bawah undang-
undang negara, bukan undang-undang agama penganut!"

Subhanallah! Subahanallah!

"Ketayap dan tudung diharam pakai dalam masyarakat 
majmuk; masyarakat berbilang kaum dan agama. Oleh 
kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan
hidup bermasyarakat yang berasaskan sekularisme.
Sekularisme harus dihormati oleh semua penganut agama!"

Auzubillah! Auzubillah!

"Istilah keluarga sebagai suami isteri dan mempunyai anak
sudah tidak relevan lagi. Sekarang digantikan dengan
istilah baru sebagai sepasang lelaki dan wanita atau
homoseksual, berkahwin atau tidak mempunyai anak atau
tidak, tidak kira anak haram atau anak tabung uji!"

Allahuakbar! Allahuakbar!

"Harta pusaka hendaklah diwaris bersama dan sama rata
antara lelaki dan wanita, termasuk anak-anak zina.

Alamak! Alamak!

"Demokrasi sebenar ialah demokrasi Amerika. Demokrasi
yang mengancam kepentingan politik, ekonomi dan
kebudayaan Amerika bukanlah demokrasi Amerika.
Sesiapa menolak demokrasi Amerika, mereka berhak 
dihukum dan diserang."

Dunia dah nak kiamat! Nak kiamat!

Di hadapan kita terpantul tiga pilihan; penonton pasif,
mujahid memikul semua jenis senjata, atau
menjadi warga bijaksana tanpa bijaksana!

17 Disember 2004

Petikan:Tembok Tidak Berpintu; Nahmar Jamil

01 Februari 2012

OH! BIDADARI HUJAN...

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Syukur. 
Tuntas menyepikan diri, hanya hadir melihat mereka yang sudi menyinggah ke sini.Moga Allah redha. InsyaAllah. Cuma teringat sesuatu, cuba untuk berkongsi sesantai yang mungkin. Dengan izin Allah. Mudah-mudahan.

Berhenti di hentian rehat dan rawat selepas beberapa jam perjalanan dari kampung di bahagian pantai timur. Pakcik saudara turut sama menumpang berhasrat menziarah kaum kerabat di Pahang. Dalam hati sedikit kagum akan keprihatinan dan kesungguhan beliau, dengan umur yang sedemikian wajarnya dia diziarahi sanak saudara bukan sebaliknya.

Budaya orang dahulu?

Berjalan. Saya dan emak sedikit di hadapan. Pakcik di belakang, tapi masih dapat dilihat dari sisi ekor mata. Di hadapan, saya lihat ada juga seorang pakcik yang hampir seusia pakcik saya barangkali. Saya tersenyum. 

"Assalamualaikum!" Pakcik saya menyapa dia. Jabat tangan dihulur. Salam berbalas. Allahu...

Terasa malu seketika, kerana hamba ini hanya sekadar mampu bertembung bahu dan berselisih dengan mereka yang seagama. Paling bagus pun saya kira hanya mampu tersenyum.Ah.. mendadak fikiran saya terimbas budaya zaman persekolahan, memberi salam apabila bertembung dengan para guru. ^_^. Wujud lagikah sekarang?


Seorang Gadis Cina

Lewat. Tidak juga. Masih ramai yang belum keluar dari laman asrama perempuan. Puas memandang sekeliling. Hujan. Langit menangis. Tunggu lagi barang seminit dua, kalau-kalau ada petanda yang menunjukkan hujan tersebut akan reda. Sedikit kecewa. Diri ini tidak juga membawa payung. Entah di dalam kotak mana di simpan. Hampir hilang dari kantung memori di mana disimpannya.

Nekad. 'Ahh, sikit je, tak sempat basah pun pakaian.' sampai di kawasan terbuka semakin laju langkah kaki dihayun. Terpaksa memintas sebahagian mereka yang berpayung. Tidak mengapa, mereka berpayung:p 

Gadis Cina di hadapan bertindak memberi laluan. Saya hanya tertunduk. Hujan. Kejar masa. "Nak tumpang?" Saya berpaling ke arahnya. Tersenyum sumbing. "Tak apalah... sikit je lagi."

Laju juga langkahnya mengejar saya, payung sudah dibawa sedikit ke tepi, barangkali untuk sama-sama menarik saya ke sisinya. Oh, bidadari hujan^^. Tersenyum lagi.

Baru sahaja saya terlintas kisah novel Bidadari hujan sebentar tadi, dan kemudian dia muncul. Allahu... Terima kasih ya akak:)

Terima kasih ya Rabb. Kadang-kadang kebaikan seseorang itu terbatas pada pandangan kita. Kerana hakikatnya kita hanya melihat perkara yang berlaku di hadapan kita, namun realiti yang sebenarnya terbatas dek khayalan ilusi:)

P/s: Agak2 budaya orang muda sekarang bagaimana ya? "Hello bro!" Erk!

Terfikir, termenung
Cempaka217
0214am
01022012
01Rabiulawal1433H

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...