25 Oktober 2013

HARI PERTAMA...

Seorang pemuda yang baru keluar penjara setelah 10 tahun dipenjara sejak dari umurnya 18 tahun, singgah di sebuah kedai menjual kopiah berhampiran penjaranya.

Pemuda: "Abang, berapa harga satu kopiah ni?"

Bro: "RM30."

Pemuda: "Tak boleh kurang sikit?"

Bro: "Orang macam kau ni tak payahlah pakai kopiah." 


Pemuda mendiamkan diri. Meletakkan kembali kopiah putih tersebut.

Bro: "Orang kalau dah tak baik, pakai kopiah macam mana pun tak akan dapat tudung kejahatan dia buat. Jangan rosakkan imej orang lain yang berkopiah pula. Tak payah pakailah, senang. Kalau pakai, tapi perangai macam syaitan bukan ke hipokrit, munafik namanya? Berpura-pura baik dengan imej berkopiah di hadapan orang. Yang di facebook pula sibuk letak imej berkopiah untuk melariskan diri sendiri dengan imej yang baik. Hak tuih!"

Pemuda: "Tak mengapalah macam tu bang. Jangan risau, saya tak beli kopiah ni. Saya pun tak mampu beli kopiah harga ni."

Bro: "Ha bagus. Dah, aku nak meniaga. Kau pergi mengemis tempat lain boleh? Aku dah kenal ramai la yang keluar penjara macam kau ni. Suka dapatkan simpati."

Pemuda menundukkan kepala, cuba berlalu dari situ. Tapi ditahan oleh seorang pakcik.

Pakcik: "Nanti, biar pakcik belikan."

Pakcik segera menghulurkan note RM30 kepada penjual kopiah.

Pakcik: "Biarlah dia nak pakai kopiah. Kopiah tu kan dari pakaian orang Islam juga. Kemas sikit, tak adalah nampak serabai sangat rambutnya."

Bro : "Pakcik tak payahlah kesian sangat dekat budak ni."
Pakcik: "Sama ada dia hipokrit atau tidak, baik atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Tugas kita adalah menegur dia jika dia salah, tunjuk dan bimbing dia jika dia hilang arah.

Biarlah dia pakai kopiah, sekurang-kurangnya bila dia nak buat maksiat, dia ingat kopiah di kepalanya. Mula-mula rasa malu pada kopiah. Dari malu kepada kopiah, timbul malu kepada Tuhan. Dengan memakai kopiah, mungkin dia akan malu memandang aurat gadis-gadis di sekelilingnya lalu menundukkan pandangan."

Bro: "Dah tu, yang dalam facebook tu apa cerita plak?"

Pakcik: "Terpulang pada niat masing-masing;

1. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka dapatlah pahala.

2. Jika niatnya nak memancing wanita, maka mungkin dapatlah apa yang dihajati tapi tidak mungkin dapat Allah kerana tidak ikhlas.

3. Jika niatnya supaya orang lebih tertarik kepada Islam dengan imej sopan yang ditunjukkan, alhamdulillah.. bagus.

4. Kadang-kadang orang lebih mudah berikan kepercayaan pada yang berimej baik dan sopan dari yang berimej sebaliknya. Lebih dipercayai berbanding mereka yang membawa imej misalnya terlampau rock, yang akhirnya menyebabkan mereka kurang diberikan kepercayaan.

5. Orang yang berpura-pura dengan berimej Islamik dan bertopengkan agama di facebook, ilmu bermanfaat yang disebarkan dapatlah pahala untuk part tu. Tapi dari segi keikhlasan, dia ada masalah dengan Allah. Dia kena muhasabah balik, betulkan niat. Tak guna disukai orang, tapi dibenci oleh Allah."


Bro mengangguk-angguk malas seraya beralih ke customer yang lain. Malas nak layan celoteh pakcik.

Tiba-tiba pemuda tersebut memeluk pakcik tersebut dengan deraian air mata.

Pemuda: "Selama 10 tahun saya berada di penjara, 5 tahun saya enggan solat. Namun apabila pertama kali saya cuba solat di dalam penjara dengan memakai kopiah penjara, saya rasa tenang sangat-sangat. Saya akhirnya bersolat. Bila melihat wajah saya dalam cermin dengan berkopiah, rasa macam tak percaya. Nampak tenang dan tak serabut seperti selalu. Sejak dari hari tu, saya berazam hari pertama saya keluar penjara saya nak beli kopiah saya sendiri.. saya nak berhijrah."

Pakcik: "Alhamdulillah.. namun ingatlah, penghijrahan bukan sahaja bermula dengan imej Islamik, tetapi lebih penting lagi di sini." (sambil menunjuk ke arah dada pemuda tersebut)

Usai bersalaman, pakcik meminta diri dari pemuda tersebut dan berlalu pergi. Sekilas, pemuda teringat dia belum lagi mengucapkan terima kasih. Ditolehnya ke belakang, namun pakcik tersebut dah tiada. Hilang sekelip mata.

Pemuda tercari-cari, berlari-lari ke segenap arah. Namun tidak dijumpai kelibat pakcik. Hampa. Mengeluh seketika.

Namun dalam hatinya kini ada dua penghargaan;

"Terima kasih, pakcik."

"Terima kasih Tuhan."

17 Oktober 2013

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…



Andai dia pergi dulu sebelum mu, sapulah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.  Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

P/s: Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...