09 April 2010

USRAH BARU...

Asslamualaikum...
Menjejakkan kaki ke surau malam ini cukup menenangkan hati. Kadang-kadang diri ini teruji dengan tugasan assignments yang memenuhi meja study. Entah bilakan siap, asal mengadap labtop, mata terus rasa kuyu, mulut usah cakap, menguap saja...bantal dan katil tidak jemu-jemu menyeru. Ahhh... godaan-godaan...
Hasilnya...
 Jadilah kerja last minute.. hehehe
yang menyebabkan ketensionan.....
Ada juga yang terasa ke? hehe...
Tarik nafas panjang-panjang, senyum, positifkan minda...
Moga-moga kita dapat mengubah sikap sedemikian menjadi lebih baik...
Rajin-rajinlah berusaha, duhai diri, duhai kalian...
Harap-harap semuanya berjalan lancar sebagaimana hendaknya.
3 Card Monty
Dalam tak sedar, dah masuk bulan April. Tinggal lagi dua bulan untuk menamatkan sem pertama PISMP ni. Reading 2 hehe...
Di surau tadi, saya menyertai kumpulan usrah yang baru. Mungkin ramai yang di sini pernah, masih dan suka menyertai aktiviti-aktiviti sebegini. Alhamdulillah, semoga kita dapat mendekatkan lagi diri pada_Nya.  Sebelum ini, saya ada juga mendaftarkan diri, tapi tidak berkesempatan menghadirkan diri. Mudah-mudahan, niat dan tekad kali ini, bukan lagi sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Mohon agar Ilahi berikan diri ini petunjuk dalam menggapai redha_Nya.
Semoga kita semua senantiasa berada di bawah payung rahmat-Nya, di dalam limpah kasih_Nya. Amin ya Rabbal A'lamin...

Apa itu usrah...

Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu muslim (afradul muslimin) yang beriman dengan Allah S.W.T. berusaha tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Isam. Usrah membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islam dan terjalin dengan suatu ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiyyah). Usrah juga merupakan medan tarbiyyah dalam usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati memperjuangkan Islam.

Matlamat usrah...

1.      Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran Islam yang syumul
2.      Mengukuhkan semangat ukhuwwah Islamiyyah dan memupuk semangat bertindak secara berjemaah
3.      Menambahkan penghayatan Islam dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap Islam
4.      Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami Islam, beramal dengan ajaran Islam dan bersedia untuk memperjuangkan Agama Allah S.W.T.


Sejarah usrah...

Sejarah usrah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w. apabila pemeluk Islam meningkat kepada 30 lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. telah memilih sebuah rumah yang terpencil iaitu rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat menyampaikan segala ajaran-ajaran Islam, tunjuk ajar dan nasihat. Seruan ini telah berjaya menarik hampir 40 orang lagi memeluk Islam. Kebanyakan mereka adalah golongan fakir miskin dan hamba yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.


Rukun-rukun usrah...

Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua ahli usrah dan bersungguh-sungguh menjayakannya agar ikatan usrah tersebut tidak semata-mata menjadi beban yang tidak membawa sebarang erti. Tiga rukun tersebut ialah:

1.      Al- Ta’aruf (berkenalan)
2.      Al- Tafahum (bersefahaman)
3.      Al-Takaful (bantu-membantu/berseimbangan)

Al-Ta’aruf (Berkenalan)...

Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun pertama usrah. Setiap ahli hendaklah mengenali antara satu sama lain serta berkasih sayang kerana Allah. Mereka perlu menyedari dan memahami pengertian ukhuwwah sejati sesama saudara. Ahli juga digalakkan berusaha bersungguh-sungguh supaya tiada sebarang perkara yang boleh mengeruhkan hubungan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan menjunjung perintah Allah s.w.t. dan sunnah Rasulullah s.a.w., bahkan kedua-duanya wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara kamu”
(Surah Al Hujurat, ayat 100 )

Firman Allah seterusnya:
“… dan hendaklah kamu semua berpegang kepada tali Allah kesemuanya dan janganlah kamu berpecah belah”

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Seorang mukmin bagi mukmin yang lain seperi bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan  sebahagian yang lain”

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Orang mukmin adalah saudara bagi muslim yang lain; tiada menzaliminya dan tidak juga membiarkannya”

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka dan perasaan simpati mereka, adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan mengadukan hal maka seluruh badan akan menanggungnya dengan berjaga malam dan merasa demam”

Al-Tafahum (Bersefahaman)...

Rukun kedua usrah ialah Tafahum atau bersefahaman. Kita dituntut sepanjang masa untuk berpegang kepada kebenaran iaitu dengan mengerjakan suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya. Ahli usrah mesti sentiasa meneliti diri sehalus-halusnya sama ada benar-benar telah menunaikan perintah Allah atau menderhakai perintahNya. Setelah memeriksa diri sendiri maka hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila ada kekurang pada saudara yang lain.

Dalam memberi nasihat yang diberi nasihat hendaklah bersedia menerima nasihat dari saudaranya serta berterima kasih atas nasihat tersebut. Manakala pemberi nasihat pula, janganlah berburuk sangka terhadap msaudaranya yang tersilap tadi walaupun perubahan perasaan hati itu sekadara jarak sehelai rambut sekalipun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihati. Pemberi nasihat janganlah menanggap dirinya lebih mulia bahkan hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan secara terang kesilapan saudaranya itu selama sebualan dan tidak menceritakan kecacatan yang telah diperhatikannya kepada ketua usrah. Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada ketua usrah jika merasa tidak berdaya untuk memperbaikinya.

Dalam apa keadaan sekalipun, janganlah sekali-kali kita merasa tawar hati terhadap saudara yang bersalah tadi, malah hendaklah tetap memberi kasih sayang kepadanya sehinggalah berlaku apa-apa perubahan yang dikehendaki. Saudara yang diberi nasihat pula janganlah menunjukkan kedegilan dan sikap keras kepalanya kepad apemberi nasihat. Ini kerana martabat ‘berkasih sayang kerana Allah’ adalah setinggi-tinggi martabat kasih-sayang sesama manusia. Nasihat pula merupakan dasar yang amat penting dalam agama Islam. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “ Agama itu adalah nasihat”

Al-Takaful (Bantu-membantu/berseimbangan)...
           
Al-takaful atau bantu-membantu adalah memelihara nasib sesama sendiri hingga tiada yang terbiar atau terdampar. Dasar Al-takaful ini hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk bersama-sama memikul bebanan sesama sendiri. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah yang sejati. Untuk mengamalkan rukuan Al-takaful ini, kita hendaklah sentiasa bertanya khabar berita, ziarah-menziarahi dan saling memberi pertolongan sedaya mungkin. Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

“ Sesungguhnya seseorang kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya, itu adalah lebih baik baginya daripada beri’tikaf selama sebulan di masjidku ini”

Kesimpulannya adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli usrah untuk memelihara dan melaksanakan rukun-rukun usrah ini dengan sebaik mungkin. Kita mesti saling percaya-mempercayai dan menjaga kerahsiaan ahli usrah. Bagi para naqib/at pula, laksanakanlah tugas dengan penuh keikhlasan untuk menegakkan agama Allah, istiqamah dengan perjuangan yang benar dan berusaha ke arah mewujudkan suasana ukhuwwah Islamiyyah di kalangan anggota usrah. Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu kita.

Pengisian usrah...

Setiap individu mempunyai kewajipan yang banyak berbanding dengan masa yang ada, tambahan lagi bagi seorang yang berada dalam perjuangan Islam. Oleh itu pertemuan usrah hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara berikut:

1.      Membentangkan permasalahan dan kesalahan
Setiap ahli usrah hendaklah membentangkan permasalahan dan kesulitan yang dihadapi, kemudian saudara lain turut mengambil berat untuk menolong mengatasi masalah tersebut. Ini hendaklah dilakukan dalam suasana ukhuwwah sejati semata-mata kerana Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w:

“ Orang mukmin itu adalah cermin bagi saudaranya”

Sabda Rasulullah s.a.w seterusnya yang bermaksud:

“Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih-sayang mereka, belas kasihan sesama mereka, dan rasa simpati mereka adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota mengadukan hal maka seluruh badan yang lain turut menanggungnya dengan berjaga malam dan merasai demam”

2.      Bermuzakarah
Kita digalakkan bermuzakarah iaitu bertukar-tukar pendapat berkaitan urusan umat Islam. Hendaklah menatap risalah-risalah dan taklimat yang diedarkan. Dalam setiap pertemuan usrah, janganlah ada sebarang pertengkaran atau bertikam lidah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar tatatertib dan dengan cara menghargai pendapat yang datang dari semua pihak.

3.      Kajian buku
Kita juga digalakkan mengadakan kajian yang berfaedah mengenai sesebuah kitab yang bermutu. Apabila sesuatu kajian berjaya dilakukan, maka hendaklah beralih untuk melaksanakan isi kandungannya dalam menjayakan erti ukhuwwah yang sebenar. Perkara sebegini tentulah tidak dapat disediakan dalam taklimat-taklimat usrah.

4.      Program Tambahan
a)      Dalam usaha mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan ahli usrah, maka perkara tersebut perlu diambil berat:
b)      Mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sebagainya.
c)      Mengadakan perkelahan riadhah pada setiap bulan.
d)     Berpuasa dan berbuka bersama sama seminggu atau dua minggu sekali. Sembahyang berjamaah bersama-sama di surau/masjid.
e)      Berusaha untuk bermalam beramai-ramai dan berqiamullail.


Adab-adab usrah...

1.      Mengikhlaskan niat semata mata kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekelian alam”
2.      Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang dijanjikan.
3.      Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah
4.      Datang ke majlis urah dalam keadaan berwudhuk dan suci jiwa dan tubuh badan
5.      Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Qur’an, teks usrah dan buku catitan
6.      Hadir usrah dengan hasrat mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam.
7.      Mendahului majlis usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan surah Al-A’sr dan tasbih kaffarah dengan bertadabbur maknanya.
8.      Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak banyak ketawa dan tidak banyak bergurau serta tidak banyak bertengkar
9.      Sentiasa berusaha untuk merapatkan ukhuwwah di kalangan ahli usrah.
10.  Berada dalam keadaan sopan-santun dan berbincang dengan baik dalam segala perkara yang dibangkitkan.
11.  Bersalaman dan bermaafan selepas selesai majlis.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...